suria

‘Bakal pengantin’samun butik pengantin

KUANTAN: Sepasang individu yang menyamar sebagai bakal pengantin bersama dua lagi rakan mereka melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai bernilai RM20,000, dari sebuah butik pengantin di Jalan Lim Hoe Lek, di sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha memberitahu pemberita hari ini, dalam kejadian itu pasangan terbabit datang ke butik berkenaan pada 9 malam berpura-pura bertanyakan mengenai pakej perkahwinan kepada pengurus butik tersebut.

Beliau berkata, keduadua mereka bagaimanapun keluar dari premis itu kononnya untuk berbincang mengenai tawaran pakej tersebut sebelum datang semula kirakira 10 minit kemudian.

"Ketika itu suspek lelaki masuk ke dalam premis dan disusuli dua lagi rakannya yang lain yang juga lelaki manakala wanita terbabit menunggu di luar premis tersebut," katanya.

Menurutnya, suspek terbabit kemudian mengeluarkan pisau pemotong sayur dan meminta pengurus butik berusia 38 tahun itu bersama dua pekerja wanita dan dua pekerja lelaki berusia 18 hingga 26 tahun supaya tidak membuat bising.

Katanya, suspek juga meminta dua pekerja wanita membuka rantai leher dan gelang tangan yang dipakai dan sebelum melarikan diri suspek turut mengambil komputer riba serta wang tunai mangsa terbabit yang berjumlah lebih RM3,000.

"Dalam kejadian tersebut mangsa bersama pekerjanya itu tidak diikat tetapi dikawal rapi seorang daripada suspek yang bersenjatakan pisau pemotong sayur" katanya.

Nordin berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuantan, Sabtu lepas. BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan