KOTA BHARU: Seorang suri rumah yang mendakwa mengalami kerosakan kulit muka yang serius selepas mengguna krim keluaran De Classic Life (M) Sdn Bhd memfailkan saman ganti rugi RM20 juta terhadap syarikat pengeluar barangan kosmetik itu.Saman balas terhadap DCL itu difailkan oleh Noraini Jaafar, 48, di Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Jawahir & Co juga menuntut kos lain yang akan dikemukakan kelak kepada mahkamah. DCL yang beralamat di No 542, Jalan 2/50, Diamond Square, Off Jalan Gombak, Kuala Lumpur, dinamakan sebagai defendan pertama manakala jurujual Nazula Mamat yang beralamat di S 4/144, Jalan Kebun Sultan Dalam di sini sebagai defendan kedua.Writ saman itu menyebut defendan telah gagal atau cuai dalam memastikan produk tersebut selamat untuk digunakan.Pada 31 Julai tahun lalu, syarikat berkenaan mengemukakan saman RM20 juta terhadap Noraini dan dua wartawan New Straits Times kerana didakwa mengeluarkan kenyataan dan berita berunsur fitnah.Akhbar berkenaan sebelum itu telah melaporkan berita mengenai keperitan Noraini yang mengalami kerosakan teruk kulit muka selepas menggunakan krim pencerah keluaran syarikat itu. BERNAMA