suria

Bekas anggota tentera bebas tuduhan dadah

SHAH ALAM: Seorang bekas tentera berpangkat Sarjan dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan memiliki ganja seberat 180.67 gram yang ditemui di dalam bangsal dan bahagian dapur rumahnya, tiga tahun lepas.

Hakim M.Gunalan membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rosli Rahmat, 40 yang pernah mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam sukan sepak takraw peringkat kebangsaan sehingga 2006.

Dalam penghakimannya, Gunalan berkata, keterangan saksi-saksi utama pendakwaan khususnya pegawai yang melakukan serbuan di rumah Rosli bahawa barang kes dijumpai di kediaman Rosli, didapati tidak menepati syaratsyarat mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan.

"Keterangan saksi itu tidak mempunyai kredibiliti kerana Rosli sendiri yang menunjukkan barang kes terbabit. Selain itu, adalah jelas kedua-dua tempat di mana dadah dijumpai adalah terbuka dan boleh dimasuki orang ramai, malah di rumah juga ia adalah terbuka dan tidak berkunci.

"Kesimpulannya, keterangan yang ada hanya setakat tertuduh ada pengetahuan tentang tempattempat terbabit dan ini tidak terjumlah kepada pemilikan eksklusif dadah," katanya.

Gunalan berkata, jelas intipati utama pertuduhan tidak dapat dibuktikan pihak pendakwaan dan gagal membuktikan kes prima facie dan dengan itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, semua anggota kularga Rosli berpelukan dan menangis kegembiraan.

Rosli yang kemudian keluar dari kandang tertuduh terus terduduk dan turut mengalirkan air mata kegembiraan.

Keadaan menjadi sayu apabila ibu Rosli yang berkerusi roda menggagahkan dirinya untuk berdiri dan memeluk Rosli serta peguam belanya, Salim Bashir.

Rosli dituduh memiliki ganja seberat 26.58 gram di bangsal rumahnya di Lot 8468, Jalan Nakhoda, Batu Caves, Gombak dekat sini, pada pukul 12.45 pagi, 3 Okt 2006.

Dia juga dituduh memiliki ganja seberat 154.09 gram, di bahagian dapur rumahnya pada pukul 1 pagi, hari yang sama.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan minimum 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Penolong Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan telah memanggil lima saksi memberi keterangan.

Rosli ketika ditemui pemberita di luar mahkamah melahirkan kegembiraan dan syukur atas pembebasannya.

"Selepas ini, saya akan teruskan usaha untuk bekerja sendiri memandangkan saya sudah bersara secara pilihan pada 20 Julai 2008 setelah berkhidmat dalam ATM selama 21 tahun," kata bapa kepada tiga anak berumur 13, 10 dan enam tahun itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 pegawai SPA Perak tiada kerja

Artikel Lain