KUALA LUMPUR: Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) - entiti pendidikan MIC yang diberi tanggungjawab membina dan mengurus Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun hari ini mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan ke atas pembinaan dan penyelenggaran AIMST selepas anggaran kos awal universiti itu melonjak dari RM230 juta kepada RM500 juta di akhir tempoh pembinaan awal tahun lalu. AIMST, yang terletak di Semeling, Kedah, mula dibuka 18 bulan lalu sebagai hasrat MIC memiliki dan menguruskan sebuah universiti.Penubuhan AIMST, yang diilhamkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, dibina atas sumbangan ikhlas orang ramai, derma dan pungutan dari setiap cawangan MIC di negara ini."Kami memulakan siasatan selepas beberapa laporan polis diterima mengenai perkara itu."Kami juga telah mengambil keterangan daripada beberapa pemegang jawatan dalam MIED dan siasatan sedang diteruskan," kata Koh kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.Adalah difahamkan bahawa laporan polis dibuat oleh beberapa individu yang mendakwa berlaku salah urus kewangan dalam pembinaan dan penyelenggaran AIMST.Sumber polis memaklumkan pegawai JSJK telah menemui Samy Vellu selama lima jam di ibu pejabat MIC Rabu lepas dan mengambil beberapa fail mengenai MIED dan AIMST untuk membantu siasatan."Pengarah JSJK sendiri secara langsung memantau siasatan ini. Ini adalah kes besar dan kami mungkin menyoal beberapa pemimpin MIC."Sebaik sahaja siasatan siap, kami akan berbincang dengan SPRM jika ada tindakan susulan."SPRM juga memantau kes ini dan jika kami perlu bantuan mereka, maka kami akan meminta mereka untuk turut menyiasat... ini pun jika perlu sahaja," kata seorang pegawai penyiasat kanan. kepada Bernama.Difahamkan Samy Vellu telah memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu pada mesyuaratnya Khamis lalu mengenai kunjungan anggota polis ke ibu pejabat parti itu.Ditanya sama ada Samy Vellu, bekas Menteri Kerja Raya, disoal, Koh enggan mengulas tetapi hanya berkata adalah tidak elok untuk memberi butiran mengenai kes itu kerana siasatan masih diteruskan.Pada Disember lalu, Tan Sri M. Mahalingam, salah seorang penandatangan cek MIED, disingkirkan sebagai Bendahari Agung MIC oleh Samy Velu, yang memberi alasan bahawa langkah itu adalah sebahagian daripada proses penjenamaan semula parti.Sejak kontroversi itu timbul, Samy Vellu juga telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif MIED P. Chitrakala Vasu mengambil cuti dan diberi beberapa surat tunjuk sebab.Laporan media juga menyebut berlaku beberapa penyalahgunaan dalam pemberian kontrak khususnya membabitkan kerja-kerja landskap dan perkhidmatan keselamatan di AIMST.Bulan lepas, Naib Presiden MIC dan Pengarah MIED, Datuk S. Sothinathan membuat dua laporan polis di Balai Polis Daerah Dang Wangi dan Sentul di sini mengenai kehilangan fail MIED.Lporan itu mendakwa fail berkaitan kontrak AIMST telah didapati hilang dari ibu pejabat MIC di Jalan Rahmat, off Jalan Ipoh di sini.Minggu lepas, seorang bekas ahli MIC telah membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan menyatakan beliau telah menyerahkan bukti mengenai dakwaan salah urus dalam pemberian kontrak pembinaan AIMST.Beliau juga mendakwa beberapa ahli politik telah memberi kontrak kepada rakan mereka tanpa melalui proses tender.Adalah difahamkan SPRM telah membuka fail siasatan.Bagaimanapun, pemimpin parti yang sedia ada dalam MIED dan AIMST masih belum dipanggil untuk membantu siasatan.Mahalingam, ketika dihubungi berkata, pegawai JSJK Bukit Aman telah mengambil keterangan daripadanya mengenai akaun MIED dan AIMST.Adalah difahamkan Chtrakala kini berada di luar negeri dan dijangka kembali ke tanah air akhir bulan ini. BERNAMA