KUALA LUMPUR: Seorang bekas tentera hari ini dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau penjara setahun jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah dia mengaku bersalah menipu seorang pengarah syarikat lima tahun lalu.Hakim Rozana Ali Yusuff memerintahkan Ismail Che Abdullah, 62, menjalani hukuman penjara dua tahun itu mulai hari ini. Ismail mengaku menipu Rosmawati Mat Jusoh, 43, pengarah syarikat Regal Blue Sdn Bhd, dengan memperdayakannya sehingga mempercayai kononnya beliau boleh mendapat kerjakerja pengeluaran balak dari Kompatmen 151 Hutan Simpanan Balah dari Kompleks Perkayuan Kelantan, Sungai Balah.Ismail juga memberikan satu surat tawaran kontrak pengeluaran balak dari Kompatmen 151 kepada Regal Blue (M) Sdn Bhd sehingga mendorong Rosmawati untuk menyerahkan wang berjumlah RM28,830 kepadanya sedangkan dokumen yang diserahkannya itu adalah dokumen palsu.Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan boleh didenda.Peguam bela tertuduh, Amir Asree Meor Nordin merayu kepada mahkamah supaya menangguhkan hukuman penjara terhadap anak guamnya kerana akan memfailkan rayuan.Hakim Rozana bagaimanapun tidak membenarkan rayuan itu dan sebaliknya mengarahkan peguam itu memfailkan rayuannya terlebih dahulu.Dalam mitigasinya, Amir memohon kepada mahkamah untuk meringankan hukuman memandangkan anak guamnya adalah seorang bekas tentera yang telah berjasa kepada negara dan ini merupakan kesalahan pertamanya.Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Geethan Ram Vincent berkata walaupun ini adalah kesalahan pertama tertuduh tetapi mahkamah harus mengambil kira kredibiliti tertuduh sebagai bekas kakitangan awam. BERNAMA