JOHOR BAHARU: Wanita yang terselamat semasa sebuah bom mortar meletup berhampiran sebuah kilang papan di Ulu Tiram, di sini, petang semalam, Jamilah Ismail, 35, hanya mengalami kecederaan parah kerana beliau ketika itu terlindung di belakang suaminya.Dalam kejadian semalam suaminya, Zaidi Jaafar, 35, serta rakan mereka seorang warga Indonesia yang mendapat status penduduk tetap, Rustam Ali, 39, maut apabila bom mortar itu meletup selepas diketuk mereka, kerana ia disangka besi buruk. Kakak Jamilah, Siti Fatimah Ismail, 36, yang ditemui di tempat kejadian hari ini berkata, adiknya sempat bercerita mengenai kejadian semasa sedang menunggu ketibaan ambulans untuk menghantarnya ke hospital."Jamilah yang menahan kesakitan hanya sempat beritahu yang dia mungkin turut sama terbunuh sekiranya tidak terlindung di belakang suaminya ketika kejadian," katanya ketika ditemui, di sini.Siti Fatimah yang tinggal di sekitar pekan Ulu Tiram berkata, dia bergegas ke kilang itu setelah dimaklumkan mengenai kejadian dan melihat adiknya dalam keadaan cedera parah.Katanya, sebelum itu dia ada tendengar satu bunyi letupan ketika sedang menonton televisyen di rumah dan tidak menyangka letupan itu datangnya dari kilang papan tersebut.Menurutnya, Jamilah masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail dan dia sekeluarga termasuk ketiga-tiga anak Jamilah belum dibenarkan untuk melawat adiknya itu."Buat sementara ini saya menjaga ketiga-tiga anak Jamilah, terutama anak bongsu yang masih bersedih dengan apa yang berlaku," katanya.Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang semalam, ketiga-tiga mereka dikatakan sedang mengetuk besi buruk di kawasan lapang bersebelahan kilang itu untuk dijual bagi menambah pendapatan, tanpa tidak menyedari salah satu besi buruk yang diketuk itu adalah bom mortar lama yang masih aktif.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin ketika dihubungi berkata, jenazah Zaidi dan Rustam sudah dituntut keluarga masing-masing pada pukul 12.30 tengah hari sejurus selesai proses bedah siasat.Ruslan berkata, polis percaya bom mortar itu adalah bom lama tinggalan Perang Dunia Kedua, bagaimanapun siasatan sedang dijalankan. BERNAMA