suria

Keluarga Kugan buat laporan polis terhadap Hospital Serdang

PETALING JAYA: Keluarga A. Kugan, suspek kes curi kereta mewah yang mati dalam tahanan polis, hari ini membuat laporan polis terhadap Hospital Serdang.

Laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya pada pukul 11.30 pagi itu dibuat terhadap pengarah dan doktor patologi Hospital Serdang berikutan terdapat percanggahan dalam laporan bedah siasat pertama dan bedah siasat kedua.

N. Surendran, peguam yang mewakili keluarga mendiang, berkata laporan bedah siasat pertama oleh hospital itu menyatakan Kugan mati akibat paruparu berair manakala laporan bedah siasat kedua oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menunjukkan mendiang mati akibat kecederaan dalaman.

Laporan bedah siasat kedua dibuat selepas keluarga mendiang mengesyaki kematian Kugan akibat didera polis kerana terdapat kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat pertama menunjukkan kematiannya adalah akibat paruparu berair.

Kugan, 22, yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, pada 15 Jan lepas, mati dalam lokap balai polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Jan lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan