suria

Bekas Menteri akui wujud kecelaruan dalam PPSMI

KANGAR: Bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad mengakui wujud kecelaruan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun tujuan pelaksanaannya adalah baik.

Menurutnya PPSMI bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia tetapi sepanjang enam tahun pelaksanaannya ia dilihat seperti tidak mencapai sasarannya disebabkan kecelaruan itu.

"Masalah itu hanya dapat diatasi jika para pendidik meningkat dan menggalakkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dengan kemudahan-kemudahan sokongan yang disediakan termasuk bahan pengajaran dan pembelajaran," katanya selepas menyampaikan syarahan tokoh kebangsaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Menurutnya Kementerian Pelajaran termasuk para pendidik serta pelajar perlu bertindak segera untuk menangani kelemahan yang ada sekiranya ingin merealisasikan PPSMI.

"Galakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan harian kerana ia penting bagi meningkat kefahaman dalam bahasa itu," kata Musa yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Katanya, identiti bangsa Melayu tidak akan berubah sekiranya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar," katanya.

Sebelum itu, beliau yang menyampaikan syarahan bertajuk "Isu-isu Dalam Pendidikan Tinggi Semasa di Malaysia Sejarah dan Hala Tuju" berkata proses pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar memang berkesan tetapi setiap rujukan atau jurnal harus diterjemahkan segera ke dalam bahasa penghantar itu.

"Setiap rujukan dan jurnal adalah di dalam bahasa Inggeris dan sekiranya bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dapat disokong dengan bahan-bahan dalam bahasa penghantar itu sendiri ia tidak akan menimbulkan masalah untuk para pendidik dan pelajar mendapatkan rujukan segera. Tetapi kini kebanyakan jurnal adalah dalam bahasa Inggeris," katanya.

Selain itu, Musa berkata, Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula kedudukan pencapaian pelajar di bandar dan di luar bandar kerana wujud perbezaan antara taraf pendidikan di bandar dan luar bandar menyebabkan pelaksanan PPSMI tidak mencapai sasarannya.

"Kita tidak boleh bezakan antara pendidikan di bandar dan luar bandar kerana tahap pendidikannya berbeza tetapi kita mampu mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikannya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain