PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap setiausaha politik seorang anggota Kabinet yang ditahan tiga hari lalu bersama sejumlah wang, dipercayai berkaitan dengan amalan politik wang.Sehubungan itu kata Perdana Menteri, pegawai kanan tersebut harus dibebaskan jika tidak bersalah. Beliau berpendapat kes tersebut kemungkinan menjejaskan peluang setiausaha politik berkenaan jika bertanding dalam pemilihan Umno pada 26 Mac ini."Jika dia tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk dakwaan politik wang, saya berharap dia akan dibebaskan dengan secepat mungkin."Kemungkinan dia bertanding... jadi jangan tangguhkan (siasatan)," kata beliau.Rabu lalu, SPRM menahan pegawai tersebut - setiausaha politik yang kedua dalam tempoh dua bulan ini, didapati membawa bersama wang tunai RM75,000 dalam keretanya.Setiausaha Politik itu dan ketuanya turut layak untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi.Dia telah dibebaskan awal kelmarin selepas kenyataannya diambil.Penahanan pegawai itu turut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi semalam.Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, SPRM patut dibiarkan menyiapkan penyiasatan terhadap pembantu kanan menteri yang dilaporkan disiasat kerana terlibat amalan rasuah."Semua persoalan mengenai perkara itu patut dikendalikan oleh SPRM. Mereka boleh bertindak dan melakukan penyiasatan mereka sendiri."Oleh kerana ia sudah di peringkat ini, adalah tidak betul untuk kita membuat rumusan mengenai perkara itu," katanya.