SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas yang tinggal bersendirian ditemui mati terbaring dengan tangan terikat di katil di rumahnya di Taman Seri Putra Banting pagi tadi.Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Radzi Ishak berkata kematian mangsa yang berumur 70 tahun disedari oleh seorang anak lelakinya yang menjenguknya pada pukul 7.30 pagi tadi. Mohd Radzi berkata mangsa dipercayai disamun sebelum dibunuh berdasarkan kesan luka pada mulut dan tiga gigi mangsa didapati patah manakala seutas rantai dan sebentuk cincin yang dipakainya hilang."Kejadian dipercayai berlaku empat jam sebelum mangsa ditemui terbaring oleh anaknya. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.Bagaimanapun, Mohd Radzi tidak mendedahkan identiti mangsa. BERNAMA