KUALA LUMPUR: Jawatan bukan segalanya, yang penting bantu pulihkan Umno ke arah memperkuat dan memperkemas lagi parti untuk sedia berdepan apa jua cabaran mendatang, kata Naib Presiden Umno yang baru Datuk Seri Mohd Shafie Apdal."Kami berkhidmat kepada kerajaan dan negara, untuk laksanakan khidmat bakti, jawatan tidak penting, yang penting khidmat disumbangkan," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media di sini hari ini. Menurutnya tumpuan sekarang ialah untuk memastikan suara Umno Sabah dapat diselaraskan demi kekuatan parti, seterusnya Barisan Nasional (BN)."Kalau pegang jawatan baik pun tetapi sumbangan tidak memenuhi apa yang diharapkan serta tidak memenuhi kehendak rakyat, tidak ada gunanya. Lebih teruk lagi ia akan menjejaskan parti terutama semasa kami sedang berusaha untuk perkukuhkan Umno ke arah lebih baik," katanya.Semalam Shafie mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin pertama dari Sabah yang terpilih ke jawatan naib presiden Umno, sejak 63 tahun parti itu ditubuhkan.Dua lagi yang terpilih ke jawatan Naib Presiden Umno ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat undi tertinggi 1,592 dan bekas Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 1,515 undi. BERNAMA