suria

Umno 'kubur' cepat jika kekal politik orde lama

BAKAL PRESIDEN UMNO YANG BARU... Datuk Seri Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas upacara menaikkan bendera sempena Perhimpunan Agung ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Foto THE STAR Oleh GLENN GUAN.
BAKAL PRESIDEN UMNO YANG BARU... Datuk Seri Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas upacara menaikkan bendera sempena Perhimpunan Agung ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Foto THE STAR Oleh GLENN GUAN.
BAKAL PRESIDEN UMNO YANG BARU... Datuk Seri Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas upacara menaikkan bendera sempena Perhimpunan Agung ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Foto THE STAR Oleh GLENN GUAN.

KUALA LUMPUR: Hayat Umno yang kini berusia 63 tahun akan berakhir dengan cepat jika ia terus berpaksikan pendekatan berpolitik orde lama - antara lain menyekat kebebasan warga, kata Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi semalam.

"Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah, laluan yang membawa kita ke belakang.

"Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat Umno," katanya.

Jika Umno tidak melakukan perubahan berani selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, ahli-ahlinya akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti ini, tegas beliau.

Abdullah sepanjang menjadi Presiden dan Perdana Menteri sejak Oktober 2003 dilihat mengamalkan pendekatan sikap terbuka bagi membolehkan mana-mana pihak memberikan pandangan dan pendapat masing-masing.

Bagaimanapun ada juga kritikan bahawa sikap terbuka beliau itu telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak.

Ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden terakhir selaku ketua Umno, Abdullah yang juga Perdana Menteri memberitahu, Umno kini berada di persimpangan jalan.

Ucapan beliau bermula pukul 10.15 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam.

Oleh itu, kata beliau, laluan yang dipilih ahli-ahli Umno akan menentukan sama ada parti ini kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu.

"Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan," ujar Abdullah yang turut dikenali dengan nama "Pak Lah".

"Mereka mempercayai bahawa Umno akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama – kepada orde lama, dengan menyekat kebebasan warga - dengan menghalang warga dari menyuarakan kritikan.

"Mereka berpandangan bahawa Umno itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu, dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu," katanya lagi.

Jelas Abdullah, masih terdapat di kalangan ahli dan pemimpin Umno yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga "menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia."

Ucapannya hari ini, yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 awal tahun lalu, juga menekankan tentang keperluan perubahan dengan berkata: "Sedarilah! di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika Umno, dan jika Barisan Nasional tidak berubah, maka pilihan raya kedua belas pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada Barisan Nasional NASIONAL menubuhkan kerajaan."

"Selepas ini, rakyat di luar Dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi. Di peringkat negeri, Barisan Nasional turut menghadapi cabaran yang sama.

"Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa ‘Umno wajib melakukan perubahan’," katanya lagi.

Abdullah menambah, beliau mendengar ada suara yang menyatakan ‘Aku akan berubah’ lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri.

"Betapa malangnya Umno jika ramai yang gagal memahami bahawa Umno itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, Umno tidak mungkin dapat berubah," katanya.

Artikel Lain