suria

3 ADUN Terengganu buat laporan polis terima SMS ugutan

KUALA TERENGGANU: Tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat laporan polis malam tadi setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kirakira 12.40 tengah malam manakala ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketika ditemui pemberita di IPD Kuala Terengganu, Abdul Halim berkata mereka menerima SMS tersebut kirakira 11.20 malam daripada individu yang mereka kenali selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.

Dalam SMS itu, katanya, individu berkenaan memberi amaran supaya mereka tidak meneruskan niat masing-masing, yang dipercayai merujuk kepada isu pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang memasuki hari kedua, hari ini.

"Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi saya sebagai wakil rakyat.

"Nyawa orang tidak boleh nak ugut... saya tidak pasti kenapa saya menjadi sasaran," katanya.

Abdul Halim berkata, pegawai kanan kerajaan negeri itu telah menghantar SMS berbunyi "baik jangan teruskan niat Yb, YB tak sayang nyawa?.

"Saya tidak pasti berapa orang menerima SMS seumpama ini. Yang saya tahu, setakat ini tiga orang (ADUN) yang menerima SMS berbentuk ugutan ini.

"Dengan keadaan ini, saya tidak akan hadir sidang DUN kalau tiada jaminan keselamatan esok (hari ini). Saya merasa amat terancam... saya sebagai Adun selalu jalan ke mana-mana tidak kira siang atau pun malam. Jadi apabila menerima SMS seperti ini, saya berasa takut," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Abdul Halim berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana sudah pun membuat laporan polis.

Sebelum ini, dalam laporan sebuah akhbar, Menteri Besar memberi amaran keras untuk mengambil tindakan disiplin termasuk memecat ADUN BN sekiranya usul undi tidak percaya terhadap beliau dikemukakan pada sidang DUN. BERNAMA

Artikel Lain