KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita MCA sedang mengkaji struktur Puteri Barisan Nasional (BN) dan jika bersesuaian serta selari dengan perjuangan MCA, pergerakan itu tidak menolak untuk menyertai Puteri BN apabila ditubuhkan kelak.Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew May Fun berkata MCA terutama Pergerakan Wanita parti itu tidak menolak keberkesanan peranan yang boleh dimainkan golongan wanita muda melalui cadangan kerjasama itu, tetapi ia perlu memastikan arah dan asas struktur pergerakan berkenaan. "Bukan semua parti komponen dalam BN ada sayap Puteri sendiri dan kalau adapun strukturnya berbeza, tidak seperti Puteri Umno yang terkenal dengan independent mereka."Sebagai contoh kami sendiri dalam MCA. Ada pergerakan Beliawanis yang ditubuhkan sejak tahun 1992 dengan anggotanya terdiri daripada wanita berumur 35 tahun ke bawah," katanya pada sidang media selepas merasmikan kursus penulis blog di kalangan anggota Wanita MCA di sini hari ini.Cadangan penubuhan Puteri BN disuarakan oleh bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad pada Oktober tahun lepas.Ketika membuat cadangan itu, Noraini berkata adalah lebih baik sayap belia wanita bergerak dalam satu pasukan memandangkan ketika ini, sayap Puteri dan beliawanis bergerak sendiri mengikut parti masing-masing.Wanita MCA mempunyai 400,000 anggota di seluruh negara terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kepakaran. Mengenai kursus penulisan blog yang disertai 60 anggota MCA berumur antara 20 dan 65 tahun itu, Chew berkata ia bagi membolehkan parti itu menubuhkan sebuah kumpulan penulisan blog khusus untuk mendekati masyarakat Cina di negara ini.Katanya Wanita MCA sedar kekalahan BN khususnya MCA pada pilihan raya umum yang lepas banyak menerima tempias daripada hasil tulisan penulis blog yang menyampaikan mesej tidak bertapis dan tidak tepat."Atas kesedaran itu, kita tubuhkan kumpulan penulis blog sendiri yang kenal siapa dan struktur masyarakat Cina itu supaya dapat menangkis dakyah politik dan seterusnya mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina kepada kerajaan," katanya.Pada sidang media sama, Chew mengumumkan penubuhan Pusat Bantuan Wanita dan KanakKanak MCA yang akan beroperasi mulai Jun ini di Bangunan Wisma MCA.Katanya 200 anggota Wanita MCA sudah dilatih memikul tanggungjawab sebagai kaunselor bertauliah bagi berdepan dengan permasalahan wanita dan kanak-kanak di seluruh negara. BERNAMA