suria

Zahid: Umno tidak taja calon Bebas di Penanti

KUALA LUMPUR: Umno tidak guna taktik kotor dengan menaja calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti selepas memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya itu pada 31 Mei ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno bukan tamak dan terdesak justeru dakwaan yang mengaitkan Umno menaja calon Bebas adalah tidak berasas.

Ahmad Zahid bercakap pemberita selepas majlis Cabutan Undi Bagi Projek Pakej Rangsangan Ekonomi 2009 Kementerian Pertahanan di sini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Umno mungkin menaja calon Bebas yang bertanding di pilihan raya itu.

Pada sesi cabutan undi itu, seramai 34 dari 125 kontraktor yang merupakan bekas tentera ditawarkan projek bernilai RM2 juta.

Sejumlah 34 projek tersebut merupakan projek yang dikenalpasti dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama yang melibatkan kerjakerja membaik pulih dan menyelenggara kem dan kuarters ATM di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Abu Bakar Abdullah berkata hampir RM113 juta dari RM250 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama telah digunakan untuk program-program kementerian.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, Kementerian Pertahanan telah diberi siling tambahan sebanyak RM26.88 juta bagi pelaksanaan 10 projek pembangunan dalam RMK9.

"Sehingga kini sebanyak 1,803 projek bernilai RM112.95 juta telah diberi dan dilaksanakan. Bilangan kerja-kerja yang telah siap adalah sebanyak 296 projek dan jumlah pembayaran kepada kontraktor sebanyak RM16.23 juta.

"Kerja-kerja yang masih dalam pelaksanaan adalah sebanyak 834 projek dan sejumlah 531 projek adalah dalam peringkat tawaran.

"Adalah dijangkakan semua kerjakerja itu akan selesai ditawarkan kepada kontraktor pada Julai 2009," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain