suria

98 mati, 15 cedera dalam nahas pesawat Hercules

JAKARTA: Seramai 98 orang disahkan mati dan 15 yang lain cedera dalam nahas pesawat Hercules milik Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNIAU) di Magetan, Jawa Timur pada pagi Rabu.

Ketua Penerangan TNIAU Bambang Sulistyo berkata jumlah kematian itu sepadan dengan senarai penumpang dan anak kapal termasuk seorang bayi yang tidak berdaftar dalam senarai penumpang pesawat itu serta dua penduduk yang rumah mereka dihempap pesawat itu.

"Jadi jumlahnya 113 orang (yang mati dan cedera) manakala seorang korban yang dikatakan belum ditemui, tidak dapat kita pastikan setakat ini," katanya ketika dihubungi BERNAMA malam ini.

Sehingga petang ini, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan yang terjadi ketika cuaca terang dan keadaan pesawat baik, katanya dan menurutnya kawasan kemalangan masih dikawal rapi.

Sementara itu Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Menteri Pertahanan, Panglima TNI dan Panglima Angkatan Udara di Istana Presiden petang ini, meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi punca kemalangan itu.

"Penjelasan yang saya terima dari mereka... belum dapat memutuskan penyebabnya sama ada faktor cuaca, kerosakan jentera pesawat mahupun kesalahan manusia. Lebih baik kita tidak berspekulasi terhadap punca nahas ini," katanya kepada wartawan selepas mesyuarat itu.

Pengarah Pusat Penanganan Bencana Kementerian Kesihatan Indonesia Dr Rustam S. Pakaya ketika dihubungi BERNAMA berkata para doktor bertungkus lumus untuk mengenal pasti mayat mangsa yang kebanyakannya hangus terbakar.

Nahas Hercules di Magetan itu merupakan tragedi terburuk dalam catatan sejarah 18 tahun perkhidmatan pesawat TNI AU, selepas kemalangan Hercules di Condet, Jakarta Timur pada 1991, yang mengorbankan 133 anggota Pasukan Khas Angkatan Udara dan dua orang awam.

Pada 6 April lepas, sebuah pesawat Fokker milik TNIAU jatuh terhempas dalam cuaca buruk selepas latihan payung terjun di Bandung, mengorbankan 24 orang anggota pasukan khas tentera udara dan anak kapal.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan