suria

Dua tahun untuk Puteri pulih persepsi negatif generasi muda

PUTRAJAYA: Puteri Umno diberi tempoh dua tahun untuk membantu memperbaiki imej Umno serta mengubah persepsi negatif generasi muda terhadap parti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata berkata tempoh dua tahun itu diberikan bagi memastikan Puteri Umno akan lebih fokus dalam menjalankan tugasnya.

"Yang penting betapa Puteri boleh pertingkatkan usaha mereka dengan memperbanyakkan program berbentuk masyarakat terutamanya golongan muda untuk bersama-sama dengan kita.

"Program penerangan juga dapat dipertingkatkan kerana kita tidak mahu ada pihak cuba memutar belitkan fakta yang menyebabkan sokongan yang diterima terjejas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pergerakan Puteri Umno di pejabatnya di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada dalam tempoh itu Puteri Umno mampu mencapai sasaran yang diharapkan, Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kemampuan pergerakan itu untuk menyahut cabaran.

"Tempoh dua tahun bukanlah satu jangka masa yang panjang jadi Puteri memikul tanggungjawab besar dan mesti bertindak proaktif dan bukan bertindak selepas berlakunya sesuatu perkara," katanya.

Mengenai keputusan Dewan Tertingi Barisan Nasional barubaru ini berhubung penubuhan Puteri Baraisan Nasional, Muhyiddin berkata walaupun mesyuarat itu bersetuju agar penubuhannya diserah kepada parti komponen dan bukan satu arahan wajib, beliau berharap sayap itu dapat ditubuhkan bagi membolehan golongan muda pelbagai kaum berjuang atas satu landasan yang sama. BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan