PADANG BESAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mematahkan cubaan menyeludup 43,980 kilogram gula pasir bersubsidi bernilai RM64,946 dalam tujuh rampasan sejak Februari lepas.Komander UPP Perlis DSP Zakaria Abd Rahman berkata UPP turut menahan tujuh lelaki yang disyaki terbabit dalam tujuh kes cubaan menyeludup itu. Jumlah rampasan itu termasuk kes terbaru membabitkan 5,230 kilogram gula pasir bersubsidi bernilai RM7,833.50 di sini pada pukul 7.20 petang semalam.Beliau berkata dalam kes terbaru itu, pasukan UPP kawasan Padang Besar menahan dua kenderaan pikap yang berdaftar di Thailand di kawasan Gapura Square, Padang Besar dan hasil pemeriksaan, UPP menemui gula pasir itu yang disembunyi di sebalik guni bawang.Zakaria berkata selain gula, UPP turut merampas 71 guni bawang besar seberat 710 kilogram dan 135 guni bawang putih seberat 1,350 kilogram serta menyita dua kenderaan yang berdaftar di Thailand itu.Kes itu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut, katanya. BERNAMA