Dr. Asri dalam majlis Pidato Perdana di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, baru-baru ini. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNIKUALA LUMPUR: Mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya Sisters in Islam (SIS) diharamkan di negara ini namun secara jujurnya mengakui tidak sependapat dengan beberapa pandangan yang pernah diutarakan pertubuhan itu."Ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju seperti isu poligami dan harta pusaka iaitu sistem faraid. Tapi isu ini sebenarnya adalah berkaitan dengan masalah perlaksanaan," kata Dr Asri ketika diwawancara baru-baru ini. "Walaupun demikian, saya juga mengakui peranan SIS yang telah berjaya membela wanita dengan baik."Kelompok feminis ini banyak menyelesaikan masalah kaum wanita yang berhadapan dengan pengurusan cuai Mahkamah Syariah hinggakan ada kes yang tertangguh bertahun-tahun lamanya."Apabila SIS mengambil langkah drastik membela kaum wanita yang tertindas, kita tertanya-tanya adakah kita telah tunaikan hak wanita?"SIS menarik perhatian kita tentang kecuaian sistem perundangan Islam dalam mengadili kes-kes yang bersangkutan dengan wanita seperti kezaliman suami, hak nafkah, kes cerai dan sebagainya," katanya.Ketika ditanya dengan lebih lanjut berhubung hasrat PAS untuk mengharamkan pergerakan SIS seandainya mereka tersasar dari garis landasan Islam yang sebenar, Dr Asri mempunyai pandangannya tersendiri."Gerakan Islam perlu berfikir secara meluas, tidak boleh jumud. Besok, mungkin kumpulan lain pula terkena. Ianya perlukan satu pengadilan yang adil. Saya tidak bersetuju dengan desakan haram mengharam ini."Satu jawatankuasa perlu ditubuhkan untuk menilai SIS. Dan mereka (SIS) pula hendaklah dipanggil kerana mereka ada hak membela diri."Jika mereka gagal untuk mengutarakan secara fakta segala tindak tanduk mereka selama ini, barulah itu satu permasalahan dan kemudian baru boleh diambil tindakan," kata Dr Asri yang pulang bercuti beberapa hari di negara ini sebelum berlepas ke United Kingdom minggu depan."Haramkan ikut kaedah, itu baru betul. Kita kena ikut cara kaedah Islam dalam hal ini contoh tentang arak dan judi, ada dosa dan manafaat."Setiap sesuatu ada buruk dan baiknya, bukan semuanya secara total baik atau buruk. Begitu juga amat bahaya 'mengharamkan' sesuatu sesuka hati."Bagaimanakah hendak mengharamkan sesuatu yang bukan hak dia? Jika saya menegah anak saya berbuat sesuatu, itu boleh kerana saya ada hak ke atas dirinya. Sama seperti harta saya."Bagaimana PAS hendak mengharamkan SIS sedangkan dia tidak mempunyai hak ke atasnya? PAS juga menentang ISA, tangkap tanpa bicara," kata Dr Asri.