suria

350,000 keping VCD dan DVD cetak rompak dan lucah dirampas

KUALA LUMPUR: Polis berjaya merampas 350,000 keping cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah bernilai RM1 juta serta menahan enam lelaki dalam satu serbuan di sebuah kilang di Seksyen 27, Shah Alam petang semalam.

Menurut sumber Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, VCD dan DVD cetak rompak dan lucah yang dirampas dalam serbuan pada pukul 4.30 petang dipercayai untuk dipasarkan di seluruh negara.

Pada mulanya polis menahan salah seorang lelaki itu yang merupakan penyelia di kilang tersebut di sebuah gerai berhampiran kilang berkenaan, kata beliau.

Katanya ekoran penahanan itu, lelaki tersebut mambawa polis ke kilang berkenaan dan menahan lima lagi lelaki yang kesemuanya berumur antara 20 hingga 30-an.

"Kilang itu beroperasi sejak empat bulan lalu dan dijadikan tempat membungkus dan melabel VCD dan DVD sebelum dipasarkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sumber itu berkata kilang tersebut juga mampu mengeluarkan kira-kira 10,000 keping VCD dan DVD setiap hari untuk pasaran di Lembah Klang.

Katanya kilang tersebut juga dilengkapi dengan kawalan keselamatan yang ketat termasuk mempunyai tiga buah kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan mereka memantau kehadiran pihak berkuasa selain tiga ekor anjing yang mengawal di luar kilang serta tiga lapis pagar elektronik.

Beliau berkata kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki VCD dan DVD lucah dan Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002. BERNAMA

Artikel Lain