KUALA TERENGGANU: Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam semak dengan beralas plastik di belakang sebuah rumah di Kampung Pasir Putih dekat sini, hari ini.Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II Negeri, Supt. K. Manoharan berkata, bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan dua jam sebelum ditemui oleh seorang remaja perempuan berusia 16 tahun kira-kira pukul 9 pagi. "Sebaik terdengar suara bayi menangis, remaja terbabit segera ke belakang rumahnya dan menemui seorang bayi perempuan yang diletakkan di dalam semak dengan beralaskan plastik."Remaja terbabit kemudian segera meminta bantuan jirannya menghantar bayi tersebut ke Klinik Kesihatan Seberang Takir sebelum menghubungi polis," katanya ketika di hubungi di sini hari ini.Katanya, bayi terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut kerana dipercayai lahir pramatang.Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. BERNAMA