suria

Fitnah: Tengku Temenggong saman Manohara, ibu mertua RM105 juta

GAMBAR FAIL... Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan isteri, Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot pada majlis perkahwinan Ahmad Syafi Datuk Husam dan Indah Purnamasari Didin di kampung Kota, Kota Bharu April lalu. Hari ini Tengku Muhammad Fakhry memfailkan kes saman RM105 juta terhadap Manohara dan ibunya.
GAMBAR FAIL... Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan isteri, Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot pada majlis perkahwinan Ahmad Syafi Datuk Husam dan Indah Purnamasari Didin di kampung Kota, Kota Bharu April lalu. Hari ini Tengku Muhammad Fakhry memfailkan kes saman RM105 juta terhadap Manohara dan ibunya.
GAMBAR FAIL... Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan isteri, Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot pada majlis perkahwinan Ahmad Syafi Datuk Husam dan Indah Purnamasari Didin di kampung Kota, Kota Bharu April lalu. Hari ini Tengku Muhammad Fakhry memfailkan kes saman RM105 juta terhadap Manohara dan ibunya.

KUALA LUMPUR: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail memfailkan saman RM105 juta terhadap isteri beliau, Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot dan ibunya, Daisy Fajarina di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Jumlah yang dituntut itu melibatkan kedua-dua mereka.

Daripada jumlah itu, RM35 juta adalah tuntutan ganti rugi teladan, RM35 juta ganti rugi teruk dan RM35 juta lagi ganti rugi pampasan.

Tuntutan itu termasuklah faedah lapan peratus setahun atas jumlah ganti rugi yang diberikan, relif-relif selanjutnya atau relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, kos dan satu injuksi.

Tengku Fakhry menuntut agar satu injuksi dikeluarkan bagi menghalang kedua-dua mereka sama ada sendiri ataupun pekerja-pekerja atau ejen mereka daripada terus menyebutkan perkataan-perkataan fitnah tersebut atau perkataan-perkataan serupa.

Dalam saman untuk serahan di luar bidang kuasa itu, Tengku Fakhry menamakan Daisy sebagai defendan pertama manakala Manohara pula defendan kedua.

Mereka diberikan 21 hari untuk memfailkan tuntutan pembelaan.

Saman tersebut difailkan setelah Penolong Kanan Pendaftar, Safarudin Tambi hari ini membenarkan permohonan plaintif untuk memulakan prosiding saman fitnah itu terhadap pihak defendan.

Peguam yang mewakili Tengku Fakhry, Mohd. Haaziq Pillay ketika ditemui berkata, mahkamah telah memberi kebenaran untuk menyampaikan writ saman berkenaan terhadap kedua-dua defendan yang kini dilaporkan berada di Indonesia.

"Setahu saya mengikut afidavit, beliau (Manohara) dan ibunya ada di Indonesia... mengikut alamat dalam penyataan tuntutan," katanya.

Tengku Fakhry tidak hadir di mahkamah hari ini.

Jelas Haaziq, jumlah tuntutan berkenaan adalah membabitkan ganti rugi fitnah dan dakwaan yang tidak berasas oleh Manohara dan ibunya terhadap anak guamnya.

"Ini adalah berdasarkan fitnah... atas arahan anak guam saya, semua yang dicakap oleh Manohara dan Daisy adalah fitnah dan satu pembohongan yang amat besar," katanya.

Ditanya bagaimana proses perjalanan kes berkenaan akan diteruskan jika Manohara melantik peguam di Malaysia, Haaziq berkata, perkara itu akan lebih memudahkan kes ini dikendalikan.

"Saya pun dengar dia ada melantik peguam di sini. Komen saya begini, anak guam saya ikut proses undang-undang iaitu failkan saman.

"Saya rasa inilah peluang terbaik untuk Manohara tampil ke hadapan, jika dia ada peguam di sini lagi baik.

"Berdasarkan kenyataannya, jika dia ada bukti inilah forum terbaik untuk membuktikan kes beliau, datang ke Malaysia dan buat pembelaan... bukan buat pendedahan melalui media," katanya.

Dalam afidavit hari ini, Tengku Fakhry berkata, antara April dan Jun lalu, defendan pertama telah secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan-perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah.

Antara perkataan dan ayat yang dipetik dalam afidavit itu ialah: "Anak saya diseksa, dadanya ditoreh dan itu yang ngomong daripada pihak dalam istana yang punya hati nurani dan nggak tega melihat penderitaan anak daya."

"Sifat serius perkataan-perkataan fitnah tersebut telah menyebabkan perasaan kesedihan dan keaiban yang amat keterlaluan bagi pihak plaintif dan keluarga plaintif dan merendahkan martabat plaintif, menyebabkan plaintif mengalami kerugian serta tercemar nama baik terutamanya di kalangan kerabat diraja dan masyarakat," katanya.

Tengku Fakhry juga telah menggariskan enam kerugian:

i. Kecemaran atau kerosakan nama baik plaintif di mata kerabat diraja.

ii. Kecemaran atau kerosakan nama baik plaintif di mata Kerajaan Malaysia.

iii. Kecemaran atau kerosakan nama baik plaintif di mata rakyat jelata.

iv. Kecemaran atau kerosakan nama baik plaintif di mata masyarakat antarabangsa.

v. Plaintif terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk membersihkan nama baik plaintif yang tercemar dan terpaksa mengeluarkan bayaran guaman yang tidak sepatutnya berlaku tanpa perbuatan fitnah defendan-defendan.

2 SAMAN AWAL JULAI

Sebelum ini pada pada 5 Julai lalu, Tengku Fakhry memfailkan dua saman terhadap Manohara di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu untuk menuntut agar isterinya kembali taat kepada beliau.

Selain itu, Tengku Fakhry menuntut supaya Manohara mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.

Tengku Fakhry dan Manohara bernikah pada 2 Ogos tahun lalu di Istana Mahkota Kubang Kerian dengan berwalikan hakim.

Dalam afidavitnya, Tengku Fakhry berkata, sebelum perkahwinan itu, defendan meminjam sejumlah wang daripadanya untuk kegunaan peribadi dan ibunya berjumlah RM338,500 termasuk pembelian jam tangan bernilai RM174,000 pada 25 Oktober 2005.

Selain itu, katanya, melalui borang permohonan kiriman wang sebuah bank tempatan, plaintif turut membuat transaksi kepada defendan bernilai RM164,500 pada 17 Jun tahun lalu.

Sepanjang tempoh perkahwinan, plaintif juga memberikan defendan pinjaman wang untuk kegunaan peribadi berjumlah RM634,250 termasuk kiriman wang empat kali antara 4 September 2008 hingga 22 Januari lalu.

Isu bekas model Indonesia itu mendapat liputan meluas daripada media Indonesia dan tempatan.

Manohara melarikan diri ke Indonesia ketika mengikut suaminya ke Singapura menziarahi Sultan Kelantan di Hospital Mt Elizabeth pada 31 Mei lalu.

Sekembalinya ke Indonesia, Manohara memberitahu media negara itu dia didera suaminya secara fizikal dan seksual sepanjang berada di negara ini.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Fakhry Sultan Ismail memfailkan writ untuk memulakan saman fitnah terhadap isteri beliau Manohara Odelia Pinot dan ibunya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Writ difailkan pukul 9.30 pagi tadi.

Kira-kira setengah jam kemudian beliau memperoleh kebenaran untuk permohonannya didengar di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Safarudin Tambi.

Ia merupakan susulan kes yang difailkan pada 5 Julai lalu.

KES SUSULAN

Awal bulan ini, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan dua saman iaitu tuntutan kembali setia dan memulangkan wang yang dipinjamkan terhadap isterinya, Manohara Odelia Pinot.

Tuntutan hutang RM972,750 - wang yang dipinjamkan kepada Manohara difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu manakala soal kembali setia pula difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu.

Saman tuntutan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Kelantan) 2002.

Kedua-dua permohonan tuntutan diterima oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan/Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kedua-dua kes tersebut.

Isu bekas model Indonesia, Manohara, 17, mendapat liputan meluas daripada media Indonesia dan tempatan berikutan ibu Manohara, Daisy Fajarina mendakwa anaknya didera ketika berada di Malaysia selepas berkahwin dengan Tengku Temenggong Kelantan, 31.

Pasangan diraja itu berkahwin pada 26 Ogos 2008.

Artikel Berikut

Artikel Lain