suria

Dua pembantu Exco Selangor dipanggil beri keterangan

SHAH ALAM: Dua orang pembantu khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah semalam dipanggil oleh polis memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock.

Dua pembantu terbabit, Evonne Lee, 40, dan Thong Kim Fatt, 53, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada pukul 2.25 petang diiringi seorang peguam, Teoh Weng Keng.

Lee berkata beliau hadir ke IPD berkenaan setelah dihubungi polis Jumaat lepas berikutan nombor telefonnya dan Thong terdapat dalam senarai panggilan telefon bimbit milik mendiang.

Kali terakhir beliau dan Thong menghubungi mendiang pada 15 Julai lepas sebelum Setiausaha Politik kepada Yong itu dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari yang sama.

"Saya dan Kim Fatt ada telefon dia (Beng Hock) pada hari itu dan dia jawab panggilan kirakira pukul 12 tengah hari kerana ada pegawai SPRM datang ke pejabat ADUN Seri Kembangan (Yong) untuk melihat penyata kewangan. Pada masa itu dia berada di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

"Bagaimanapun, selepas masuk ke pejabat SPRM pada petang hari yang sama, kami tidak dapat hubungi dia lagi," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Teoh, 30 ditemui mati di koridor Tingkat Lima Plaza Masalam di Seksyen 9 di sini pada pukul 1.30 tengah hari 16 Julai selepas disoal siasat oleh SPRM di pejabat suruhanjaya itu di Tingkat 14 bangunan yang sama, mengenai kes penyalahgunaan wang kerajaan negeri oleh beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Keputusan awal bedah siasat mendapati kematian Teoh disebabkan pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dalam kenyataan bahawa seorang peguam, Malik Imtiaz Sarwar dilantik mewakili kerajaan negeri pada inkues berhubung punca kematian Teoh.

Malik yang dikenali sebagai peguam memperjuangkan hak asasi manusia juga akan mewakili Selangor pada siasatan Suruhanjaya DiRaja yang ditubuhkan mengkaji Peraturan Soal Siasat SPRM dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita mati dipukul suami

Artikel Lain