IPOH: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 2 September sebagai tarikh sebutan semula seorang penganggur yang dituduh membunuh seorang pembantu rumah, pengusaha salon serta kanakkanak lelaki berusia lima tahun pada 20 Mei lepas.Majistret Fauziah Hani Ahmad Fuzi menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izalina Rajaai memaklumkan pihak pendakwaan masih belum menerima laporan kimia dan laporan bedah siasat kes berkenaan. Bagi pertuduhan pertama, Shahrael Amir Suhaimi, 26, yang berasal dari Pengkalan di sini didakwa membunuh seorang pembantu rumah warga Indonesia, Dani Miasih, 21, di No. 67, Laluan Pinji Seni 4, Taman Pinji Seni di sini pada 20 Mei lepas antara pukul 2.30 dan 3 petang.Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga menghadapi pertuduhan kedua dan ketiga iaitu membunuh seorang pengusaha salon, Wah Yah Matzi, 42, dan Mohd Ermin Danish Jafri, 5 tahun pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. BERNAMA