suria

Tindak tanduk Gobalakhrishnan tidak senonoh - TPM

AHLI Parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan menjerit ketika ditahan pihak polis selepas mencetuskan kekecohan pada proses penamaan calon di pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, pagi tadi.--fotoTHE STAR oleh Asri Abdul Ghani
AHLI Parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan menjerit ketika ditahan pihak polis selepas mencetuskan kekecohan pada proses penamaan calon di pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, pagi tadi.--fotoTHE STAR oleh Asri Abdul Ghani
AHLI Parlimen Padang Serai dari PKR, N Gobalakrishnan menjerit ketika ditahan pihak polis selepas mencetuskan kekecohan pada proses penamaan calon di pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang, pagi tadi.--fotoTHE STAR oleh Asri Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang N Gobakrishnan yang sengaja menimbulkan kekecohan pada proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pagi tadi sebagai sesuatu yang tidak senonoh.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan proses pagi tadi berlangsung dengan aman dengan kawalan pihak berkuasa.

"Hari pertama sebelum kita tahu calon yang bertanding lagi, sudah buat perangai yang tidak senonoh.

"Ia tak sepatutnya berlaku, hendak provokasi supaya besok boleh pergi kempen ke bawah, (memberitahu) inilah polis yang tidak bertanggungjawab.

"Inilah sentiasa dilakukan (pembangkang) untuk mencabar undang-undang," katanya selepas melancarkan pusat pembelajaran My Tuition di sini, hari ini.

MP Padang Serai ditahan, halang tugas polis

Pagi tadi, Gobalakrishnan yang merupakan Ahli Parlimen Padang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Serai ditahan polis bagi membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pulau Pinang.

Insiden itu menjadi kecoh sehingga menyebabkan seluarnya tertanggal. Adalah tidak jelas bagaimana seluar beliau boleh tertanggal tetapi gambar di mana Gobalakrishnan tidak memakai seluar dirakam oleh jurugambar yang hadir membuat liputan pada proses penamaan calon tersebut.

Beliau dikatakan telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang wajar sekiranya Gobalakhrisnan didapati melanggar undang-undang.

Muhyiddin turut meminta pemimpin-pemimpin parti pembangkang supaya menasihati ahli-ahli parti mereka agar mematuhi peraturan sepanjang tempoh berkempen.

"Yang patut, pihak di sana menasihatkan anak buah tapi kalau Ahli Parlimen yang tua-tua nak dinasihat pun tidak mengapa, tiada masalah.

"Kita (Barisan Nasional) tiada masalah, yang buat ini bukan kita. Kita ikut undang-undang dan peraturan, tertib hormat.

"Jadi soal biasa timbul adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pembangkang seolah-oleh mengatasi undang-undang.

"Dia nak tunjukkan jaguh di tempat yang salah," katanya.

Sementara itu, berhubung pusat pembelajaran My Tuition yang menawarkan perkhidmatan tuisyen percuma kepada para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang pendidikan tanpa mengira status ekonomi keluarga.

Beliau berkata, My Tuition di Taman Bukit Angkasa di sini yang dilaksanakan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai merupakan satu-satunya kemudahan seumpama itu di negara ini.

Katanya, kemudahan yang disediakan di pusat itu termasuk bilik ICT dengan 50 unit komputer multimedia, akses kepada internet, sebuah pusat sumber berhawa dingin dan perisian pendidikan yang disediakan seperti yang diajar di sekolah akan membolehkan para pelajar melakukan pembelajaran kendiri di luar waktu sekolah.

My Tuition yang diusahakan oleh Tan Sri Muhyiddin (TSM) Charity Golf dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan projek perintis yang membabitkan kos RM800,000.

Menurut Presiden TSM Charity Golf, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, pihaknya akan memantau perkembangan My Tuition selama enam bulan bagi melihat impaknya ke atas para pelajar.

Beliau berkata, sekiranya positif, dua My Tuition akan dibina di Pekan dan Pagoh, dan seterusnya sebanyak 45 lagi akan dibina di Wilayah Persekutuan sebelum dikembangkan ke seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain