JAKARTA: Satu gempa bumi kuat di dasar laut melanda barat Indonesia kira-kira pukul 2.38 petang tadi waktu tempatan (3.38 petang waktu Malaysia), mengakibatkan empat cedera ketika sedang cuba menyelamatkan diri.Laporan AP menyebut, agensi geofizik dan metereologi Indonesia memaklumkan tiada sebarang amaran tsunami dikeluarkan. Kajian Geologi Amerika Syarikat memaklumkan gempa bumi itu adalah pada magnitud 6.7 selepas memberi magnitud awal 7.0.Gempa bumi tersebut berpusat pada kedalaman 28 batu (45 km) di dasar Lautan Hindi, kira-kira 70 batu (110 km) di barat-baratdaya bandar Padang di pulau Sumatera.Empat orang cedera ketika mereka sedang cuba menyelamatkan diri dan sebuah rumah turut musnah di Padang, kata seorang pegawai kerajaan tempatan, Ade Edward.Sementara itu, Bernama melaporkan gegaran akibat gempa bumi kuat berskala 6.9 pada skala Richter itu dirasai di sekitar perairan pantai barat Semenanjung Malaysia.Bagaimanapun gemba bumi itu tidak akan menyebabkan tsunami berlaku di Malaysia, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi di sini hari ini.Gempa itu berpusat di latitud 1.6 darjah Selatan dan longitud 99.4 darjah Timur, dan kira-kira 541km Tenggara Melaka, katanya.Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di sini memberitahu Bernama pihaknya menerima laporan daripada orang ramai mengenai gegaran yang dirasai di sekitar bandar raya sejak pukul 4 petang ini.Antara panggilan yang diterima adalah dari kawasan Wangsa Maju, Desa Petaling dan Bandar Tun Razak dan pihaknya kini sedang memantau perkembangan tersebut, katanya.Di JOHOR BAHRU, beberapa bangunan tinggi di bandar raya ini termasuk Menara Landmark setinggi 33 tingkat di Jalan Ngee Heng, Hotel Selesa di Jalan Datuk Abdullah Tahir dan Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Yahya Awal, turut dilaporkan mengalami gegaran berkenaan.Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Larkin ketika dihubungi berkata pasukan bomba bergegas ke ketiga-tiga bangunan berkenaan selepas menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.10 petang."Semua orang awam dan kakitangan telah diarahkan keluar dari bangunan itu sementara menunggu pasukan bomba melakukan pemeriksaan," katanya.Beliau berkata tiada sebarang tanda keretakan didapati pada bangunan tersebut dan kesemua bangunan itu disahkan selamat untuk dihuni.