KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Nyawa Malaysia (LIAM) semalam berkata kesemua 16 syarikat insurans nyawa anggota persatuan itu akan membayar tuntutan yang dikemukakan akibat kematian dan kemasukan hospital berikutan rawatan jangkitan Influenza A (H1N1)."Meskipun majoriti polisi perubatan tidak memasukkan penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantina oleh undangundang, syarikat insurans hayat bertindak kepada keperluan mendesak negara berikutan peningkatan jumlah mereka yang dijangkiti wabak itu," menurut kenyataan LIAM di sini. Menurut LIAM, syarikat insurans akan terus memantau situasi dan akan memaklumkan kepada pemegang polisi sebarang perubahan keputusan.Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata perlindungan dan polisi kesihatan berbeza antara satu syarikat dengan syarikat lain."Ia bergantung kepada syarikat berkenaan sama ada mahu memasukkan Influenza A(H1N1) dalam polisi mereka. Kami tidak boleh memaksa mereka mengubah polisi," kata penasihat teknikal PIAM Tan Eng Leong.Menurut laman web PIAM, polisi kesihatan umumnya tidak mengecualikan rawatan kemasukkan ke hospital bagi jangkitan atau penyakit berjangkit seperti H1N1."Namun, beberapa polisi ada menyatakan pengecualian perlindungan bagi penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantina mengikut undang-undang. Ini bermakna jika H1N1 diklasifikasikan sebagai satu penyakit berjangkit memerlukan kuarantina oleh undangundang Malaysia, maka polisi sedemikian tidak meliputi perlindungan seperti perbelanjaan perubatan," kata beliau.Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr David Quek Kwang Leng meminta syarikat insurans supaya lebih bermurah hati dan lebih memahami krisis seumpamanya."Kami menghadapi beberapa masalah dengan syarikat insurans kesihatan. Ini terutamanya berhubung keskes di hospital swasta di mana banyak syarikat insurans enggan membayar semula rawatan kerana telah termaktub dalam kontrak insurans perubatan, pengecualian rawatan wabak penyakit," kata beliau.Beliau memuji insurans kesihatan Etiqa yang mengumumkan bahawa rawatan jangkitan H1N1 adalah penyakit yang boleh dibayar tuntutannya."Kami meminta syarikat insurans lain untuk mencontohinya. Jika tidak, kami berada dalam keadaan sukar untuk memberikan rawatan terbaik," katanya. BERNAMA