suria

Tujuh rangka krew MT Famosa ditemui, operasi Sar dihenti

PORT DICKSON: Kesemua tujuh krew kapal tangki minyak dari Liberia, MT Formosa Product Brick, yang terbakar di perairan Port Dickson Selasa lepas, dijumpai dalam keadaan rentung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Sabtu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata mayat mangsa ditemui di dek-dek berasingan dengan rangka terakhir dijumpai pada pukul 5.15 petang.

"Hanya satu mayat telah dikenalpasti oleh Ketua Jurutera kapal kerana mangsa memakai rantai leher emas," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata kebanyakan mangsa dipercayai terperangkap dan tersesat di dalam perut kapal kerana kebakaran menyebabkan kapal itu terputus bekalan elektrik serta-merta.

"Mangsa-mangsa terpaksa bergerak dalam keadaan gelap dan akhirnya terperangkap di tempat-tempat yang mereka rasa selamat," kata.

Beliau berkata dengan penemuan dua mayat semalam dan tujuh mayat baru hari ini, operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba Laut dan Polis Marin dihentikan.

Kesemua mayat akan dihantar ke hospital Port Dickson untuk tujuan forensik tetapi proses penghantaran mangsa-mangsa ke negara asal akan mengambil masa lama kerana masalah identiti, katanya.

Dalam kejadian Selasa lepas, kapal tangki MT Formosa Product Brick dengan muatan 58,000 metrik tan minyak naftar yang dalam pelayaran dari United Kingdom ke Singapura telah berlanggar dengan kapal MT Ostende Max yang sedang keluar dari Pelabuhan Port Dickson menuju ke Singapura.

"Dalam kejadian kelmarin hanya satu tangki meletup, jadi pihak syarikat kapal itu akan memanggil satu lagi kapal untuk menyedut baki (minyak) dari tiga tangki yang masih selamat," katanya.

Kapal itu, katanya kini tersekat di beting pasir dekat dengan Jugra, Selangor selepas hanyut dari perairan Port Dickson. BERNAMA

Artikel Lain