KUALA LUMPUR: Empat belas orang termasuk seorang wanita ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam 'Ops Hiburan 'di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini awal pagi ini.Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur DSP Baharudin Mat Taib berkata mereka yang berusia antara 21 dan 57 tahun itu ditahan selepas positif dadah jenis ketamin, amphetamine dan methamphetamine. "Serbuan kali ini kami fokuskan pada kawasan panas (hot spot). Kami juga menemui sejumlah dadah ketamin di atas lantai dipercayai dibuang oleh pengunjung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat serbuan.Beliau berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 1.30 pagi itu, seramai 146 pengunjung termasuk 58 wanita diperiksa oleh lima pegawai dan 23 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.Wanita berusia 30 tahun yang ditahan itu adalah pekerja di pusat hiburan berkenaan, katanya.Sementara itu, empat mat rempit ditahan kerana menunggang secara melulu dan berbahaya dalam Operasi Cegah Lumba Haram di empat kawasan di sekitar Cheras tengah malam tadi."Ada antara mereka yang cuba melarikan diri dengan menunggang melawan arus, bagaimanapun menyerah setelah polis berjaya mengepung mereka," kata Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur DSP Ng Fook Long.Beliau berkata dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, polis mengeluarkan 61 saman serta menyita sembilan motosikal dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan serta lesen memandu tamat tempoh atau tiada, mengubah suai kenderaan dan tiada cermin sisi."Dalam operasi ini kami juga berjaya mengesan dua motosikal curi yang sebelum ini dilapor hilang di Jalan Ipoh dan Dang Wangi," katanya kepada pemberita di lokasi operasi awal pagi ini.Operasi yang dijalankan serentak di empat lokasi termasuk Jalan Mewah, Taman Permaisuri 1, Jalan Yaakob Latif dan Bandar Tun Razak itu bertujuan membendung kegiatan lumba haram dan mengesan jenayah. BERNAMA