suria

UPP tahan 6 lelaki Myanmar

KANGAR: Enam pendatang tanpa izin warga Myanmar ditahan oleh sepasukan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) ketika tekong kenderaan yang mereka naiki ditahan di Jalan Kubang Tiga-Bukit Keteri dekat sini , Rabu malam.

Komander UPP Chuping, ASP Md Fawzie Aris berkata, mereka ditahan pukul 9 malam tadi selepas pasukan UPP yang melakukan rondaan di jalan yang sunyi itu terserempak dengan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sedang menghala Bukit Keteri dari Kubang Tiga.

Selepas diarahkan berhenti, pemandu (tekong) kenderaan itu dengan pantas melarikan diri dalam kegelapan malam meninggalkan keenam lelaki Myanmar yang berumur antara sembilan dan 35 tahun dalam sebuah Proton Iswara.

Md Fawzie berkata, kesemua warga Myanmar itu cuba melarikan diri semasa dihampiri anggota-anggota UPP namun kesemuanya dapat ditahan dan dibawa ke Kem UPP Chuping.

Kesemua yang dipercayai memasuki negara ini melalui Thailand gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut manakala pemilik kenderaan itu juga sedang dikesan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain