MENCARI... Ibu Ferris, Elis Syuhaila Mokhtar menitiskan air mata pada sidang media petang tadi sambil meminta suaminya, Firdaus @ Frank Theodorus van de Ven memulangkan anaknya, Ferris Mokhtar. Foto The Star oleh RICKY LAI KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan menghantar surat perintah mahkamah kepada Kedutaan Belanda untuk memaklumkan Firdaus @ Frank Theodorus van de Ven, 40, ayah kepada Ferris Mokhtar telah melanggar perintah mahkamah mengenai hak penjagaan kanak-kanak itu.Surat tersebut akan dihantar kepada Kedutaan Belanda di sini minggu hadapan. "Kita perlu menterjemah perintah mahkamah ini terlebih dahulu."Insya-Allah selewat-lewatnya hujung minggu depan kita akan hantar kepada Kedutaan Belanda," kata Pengerusi Biro Aduan Komuniti Exco Pemuda Umno, Datuk Muhd. Khairun Aseh.Kata beliau, tindakan Frank bukan sahaja telah menghina perintah mahkamah, malah Biro Aduan berpendapat bahawa tindakannya membawa lari Ferris telah mencabar kedaulatan undang-undang Malaysia."Kita gesa pihak yang terlibat supaya patuhi perintah mahkamah yang telah dikeluarkan agar hubungan diplomatik kedua-dua negara dapat dipelihara dan yang paling penting hak ibu (Elis Syuhaila Mohktar) dapat dipegang," kata beliau pada sidang akhbar di pejabat Biro Aduan Komuniti di Sri Hartamas di sini hari ini.Elis Syuhaila, 34, juga hadir sama.Pada 25 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Frank dan meminta kerjasama Imigresen, Interpol dan pihak berkuasa lain supaya pengatur cara komputer warga Belanda itu ditahan dan dilarang keluar dari Malaysia.Ia dikeluarkan selepas Frank gagal menyerahkan semula Ferris kepada Elis Syuhaila yang juga ibu kepada Ferris pada 5 Mac lalu.Difahamkan Ferris mempunyai pasport, mykid dan surat beranak yang didaftarkan di Malaysia.Pasangan itu dalam proses perceraian selepas mendirikan rumah tangga pada 2001.Selepas berkahwin di Malaysia mereka menetap di rumah mereka di bandar Maasmechelen, Belgium yang bersempadan dengan Belanda.Elis Syuhaila yang kembali menetap di negara ini dua tahun lalu turut memperlihatkan rakaman foto ketika kanak-kanak itu masih kecil.Beliau hanya mengetahui Ferris berada di luar negara selepas rekod Jabatan Imigresen menunjukkan anaknya itu keluar melalui Rantau Panjang, Kelantan pada 5 Mac dan tiada rekod menunjukkan dia masuk semula.Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Muhd. Khairun berkata, biro tersebut telah mula mengkoordinasikan langkah-langkah untuk menjejaki Ferris."Alhamdulillah pejabat Menteri Luar, Datuk Anifah Aman telah bersetuju untuk membantu biro dan kita akan bekerjasama dengan bahagian konsulat di luar negara untuk merujuk kes ini kepada pejabat kedutaan kita di Belanda."Kita juga mendapat kerjasama daripada pihak imigresen untuk mendapatkan rekod keluar masuk yang terkini ayah Ferris, Frank... insya-Allah mereka (pihak imigresen) akan memberi kita makluma tersebut dalam masa terdekat ini," katanya.Dalam pada itu, Muhd. Khairun berkata, dua perkara yang amat dikhuatiri mengenai Ferris adalah status perjalanannya kerana semua dokumen seperti passport dan mykid kanak-kanak itu berada bersama-sama ibunya."Kedua adalah akidahnya sebagai seorang Islam," katanya.Beliau turut meminta orang ramai yang ada terjumpa atau melihat Ferris supaya menghubungi pusat aduan 03-62078706 atau menghubungi ibu mangsa di talian 013-2191205.Sementara itu, Elis terus merayu Frank agar menyerahkan semula Ferris kepadanya seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah. Dengan linangan air mata, ibu muda ini tidak putus-putus berharap agar dia dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama anaknya."Selama enam bulan saya dan tanggung rindu terhadap dia (Ferris). Kalau boleh saya nak jumpa Ferris. Baju Melayu, sampin Ferris dan capal untuk Ferris dah ada."Manalah tahu Allah Maha Kaya saya dapat jumpa Ferris bila dekat raya, saya harap sangat dapat jumpa dia."Satu hari kalau dia tak jumpa saya dia akan demam. Saya nak tahu sangat keadaan dia macam mana, sihat ke dia, sebab saya tak tahu langsung keadaan dia lepas dia dibawa pergi," katanya sambil menitiskan air mata.Menurut ibu muda ini lagi, telah mencuba pelbagai cara untuk menghubungi keluarga bekas mentua dan bekas suaminya.Bagaimanapun usaha tersebut gagal kerana tiada sebarang respons diberikan.