suria

39 peratus generasi muda berjaya ke menara gading - Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 39 peratus golongan muda berusia antara 17 dan 23 tahun berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang mencatatkan peratusan tertinggi dalam aspek itu di kalangan negara sedang membangun.

Katanya peratusan itu perlu ditingkatkan, bukan sahaja daripada segi bilangan bahkan mencakupi kualiti pendidikan dan pelajar yang dapat dijana menerusi pusat-pusat pengajian tinggi negara.

"Inilah cabaran yang berada di depan kita. Kerajaan telah banyak memberi sumbangan kepada proses pendidikan dan demokrasi pendidikan.

Saya harap pemimpin-pemimpin pelajar akan melihat bahawa peluang untuk kita duduk di menara gading sebagai seorang pelajar ini bukan semata-mata daripada sudut akademik sahaja, tetapi ia adalah ujian yang perlu dilalui," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di majlis berbuka puasa bersama-sama pemimpin dan pelajar institusi pengajian tinggi di Sri Satria di sini.

Najib berkata ujian lebih besar iaitu pembentukan karakter dalaman menanti para pelajar di menara gading agar mereka mampu tampil sebagai individu berjiwa suci, selain memiliki idealisme dalam perjuangan, bercita-cita murni dan bersedia berjuang untuk bangsa, agama serta tanah air.

"Insya-Allah, inilah tarbiah, inilah pendidikan yang paling bermakna sekali. Bukan sahaja kita menjadi orang berkelulusan tinggi, tapi kita menjadi pelaku yang penting yang boleh mengemudikan negara kita ke tahap kejayaan yang lebih besar lagi," katanya.

Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan negara dalam semua peringkat, bermula daripada pra-sekolah hingga universiti, selaras dengan sasaran untuk melihat institusi pengajian tinggi dalam negara membangun sebagai modal intelektual terbesar.

"Kita ingin universiti kita menjadi tempat percambahan minda, menjadi tempat di mana segala hasil penemuan baru, idea kreatif dan inovatif dan menjadi tapak semaian yang begitu kaya dengan 'intelectual output' dan 'outcome' yang boleh kita banggakan," katanya.

Terdahulu, Najib berkata sambutan hari kemerdekaan yang jatuh pada bulan Ramadan al-Mubarak akan membantu rakyat menghayati manfaat dan ujian yang dilalui sebagai faktor penyumbang ke arah pembinaan sebuah negara bangsa.

Beliau berkata pembinaan negara bangsa bergantung kepada kualiti insan dan kualiti rakyat sebagai tiang seri kepada kejayaan sesebuah bangsa dan kelangsungan sesebuah tamadun.

"Kalau kita tidak ada rakyat dan pemimpin yang berkualiti, nescaya kemerdekaan yang kita telah capai itu, kemerdekaan bitara yang kita telah capai itu tak mungkin dapat kita pertahankan sehingga boleh membawa kita ke puncak kejayaan yang kita harapkan.

"Ingatlah bahawa kejayaan kita selama ini tidak bermakna kita akan terjamin kejayaan selanjutnya. Kegagalan kita menguruskan kejayaan, terlalu banyak contoh negara yang berjaya tetapi kemudiannya hancur lebur kerana gagal menguruskan kejayaannya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain