SEREMBAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menahan seorang buruh am dan menjumpai bersamanya 500 gram ganja bernilai RM3,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah teres di Mantin dekat sini, kelmarin.Pengarahnya Abdul Rahman Hamid berkata dalam serbuan pukul 3 pagi itu, suspek yang berumur 33 tahun ditahan ketika sedang memproses ganja di dalam rumah tersebut. "Buruh am yang dipercayai pengedar ganja itu juga didapati positif dadah," katanya pada sidang media di sini, semalam. Katanya, turut ditangkap seorang pelajar institusi pengajian swasta (IPTs) yang memiliki peralatan menghisap dadah jenis syabu.Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut."Selain itu, dalam operasi awal pagi semalam di sekitar daerah Seremban, kita juga berjaya menahan sembilan orang disyaki penagih dadah," katanya.Abdul Rahman berkata operasi tangkapan penagih secara berterusan di seluruh negeri ini bertujuan untuk mengurangkan kadar jenayah yang dipercayai melibatkan penagih dadah. BERNAMA