suria

Warga tua dibunuh, barang kemasnya dirompak

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas mati dibunuh manakala barang kemasnya bernilai hampir RM100,000 dirompak dalam kejadian di rumahnya di Kondominium Desa Mentari, Sungai Way, Petaling Jaya semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai A. Kuppu, 73, dipercayai berada di dalam rumah berkenaan bersama cicitnya.

Difahamkan sebelum kejadian, seorang lelaki dikatakan datang ke rumah itu untuk berjumpa dengan mangsa.

Suspek kemudian dikatakan bertindak masuk ke bilik tidur mangsa sebelum keluar semula dari bilik berkenaan kira-kira pukul 12 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata cicit mangsa yang dikenali sebagai M. Saveetha, 6, dikatakan sedang tidur di sebuah bilik lain ketika kejadian.

"Tiada kesan pecah masuk ditemui di kediaman itu dan kita masih menyiasat bagaimana suspek masuk ke rumah berkenaan yang dipercayai berkunci.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali suspek," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya mangsa ditemui mati dengan keadaan terbaring di lantai biliknya dengan kepala berlumuran darah.

Arjunaidi berkata polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan siasatan awal polis mempercayai mangsa mati akibat kepalanya dihentak beberapa kali ke dinding oleh suspek.

"Kita percaya motif suspek ke rumah itu adalah untuk mendapatkan barang kemas mangsa dan kini polis masih menjalankan usaha menjejaki suspek yang masih bebas," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain