suria

Atasi segera isu dengan Indonesia - Tun Mahathir

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kerajaan Indonesia segera menangani isu "Sweeping Malaysia" atau menyapu bersih rakyat Malaysia di Indonesia bagi memastikan hubungan baik antara kedua-dua negara jiran itu yang sekian lama terjalin tidak terjejas.

"Saya berasa sedih dengan apa yang berlaku, tetapi ini melibatkan satu kumpulan kecil sahaja walaupun mereka nampak ganas. Cadangan untuk berperang dengan Malaysia menunjukan bahawa mereka sebenarnya tak faham apa dia perhubungan antara Malaysia dan Indonesia. Saya harap pemerintah Indonesia juga akan mengambil tindakan.

"Kita di sini tak akan benarkan benda seperti itu berlaku, terutama bila kita ugut ada 'sweeping'. Nak buat slogan nak kata apa bolehlah, ini sampai nak tahan kereta nak buat 'sweeping', itu bukan cara yang baik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri dan Anugerah Seri Cemerlang Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di sini Jumaat.

Menurutnya, kerajaan perlu berhubung dengan kerajaan Indonesia untuk meminta kerjasama bagi menyelesaikan masalah yang timbul akibat isu yang dilihat kecil sahaja.

"Kita tak nak perkara yang kecil seperti ini menyebabkan perhubungan kita yang baik menjadi rosak. Sebenarnya perkara ini perkara remeh saja, bukan perkara besar, kata kita curi lagu, curi tarian, itupun bukan kita buat, orang lain buat," katanya.

Isu ini timbul apabila Malaysia dituduh sengaja menggunakan tarian Pendet, sejenis tarian tradisional Bali dalam promosi pelancongannya sedangkan perkara itu dilakukan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura.

Segelintir rakyat Indonesia menjadi marah dan mengambil tindakan yang dilihat agak ganas mahu mengusir keluar rakyat Malaysia di Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain