suria

643 kg gula cuba diseludup keluar melalui feri dirampas

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup 643kg gula pasir ke Indonesia menggunakan feri dalam dua operasi berasingan di sekitar perairan Tawau semalam.

Pegawai Memerintah PGM Tawau DSP Husaini Zainal Abidin berkata dalam operasi pertama di perairan Kampung Ice Box pada 1.30 tengah hari, anggota PGM merampas 532kg gula pasir dari sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan ke arah Sungai Nyamuk, Indonesia.

Dalam operasi kedua di kawasan perairan Tanjung Batu pada 4.30 petang pula, sebanyak 111kg gula pasir lagi dirampas dari sebuah feri yang dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia.

Husaini berkata tiada sebarang tangkapan dibuat kerana tidak seorangpun penumpang feri berkenaan mengaku gula berkenaan milik mereka.

Gula bernilai RM968.80 yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk tindakan lanjut.

Rabu lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia merampas 600kg gula pasir yang cuba diseludup ke Indonesia juga melalui feri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain