KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis cedera di paha dan tangan akibat dilibas dengan sebilah parang dalam satu cubaan samun di rumahnya di 2/3 Jalan Indah, Taman Ampang Indah di sini semalam.Ketua Polis Daerah Ampang ACP Abdul Jalil Hassan berkata kejadian berlaku pada kirakira pukul 11.45 malam semasa ASP Amalluddin Kamaruddin, 50, yang baru pulang ke rumahnya didatangi oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal warna hitam. "Keduadua lelaki itu menghampiri Amalluddin sambil memberi salam. Tanpa sebarang syak wasangka Amalluddin mendekati keduadua suspek," katanya di sini hari ini.Beliau berkata tibatiba seorang dari suspek mengugut Amalluddin menyerahkan barang berharga miliknya, dan Amalluddin yang terkejut dengan tindakan keduadua lelaki itu, menumbuk muka seorang daripada suspek."Berang melihat rakannya ditumbuk, seorang lagi suspek lantas menetak paha kanan dan tangan kanan Amalluddin dengan sebilah parang," katanya dan menambah jari kelingking Amalluddin hampir putus dalam kejadian itu.Abdul Jalil berkata Amalluddin kemudiannya menjerit mengarah isterinya supaya menghubungi polis, menyebabkan keduadua suspek terus melarikan diri dengan motosikal mereka."Polis menemui sebuah beg berisi telekung dan beberapa dokumen pengenalan diri yang dipercayai hasil ragut di tempat kejadian.Polis masih menyiasat jika suspek terlibat dalam kes samun penghibur terkenal Anita Sarawak baru-baru ini, kerana modus operandi suspek dalam kejadian hari ini seakan sama dengan kejadian yang menimpa Anita Sarawak," kata Abdul Jalil.Beliau berkata Amalluddin yang merupakan Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling IPD Ampang kemudiannya dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.Sementara itu, isteri Amalluddin, Roshita Dahalan, 50, ketika ditemui di Hospital Ampang berkata beliau hanya sedar ada sesuatu yang tidak kena apabila terdengar bunyi bising di luar rumah, dan suara suaminya mengarahkan beliau supaya menghubungi polis."Mungkin kami tidak jadi pulang berhari raya di Lanchang, Pahang, kerana suami perlu jalani rawatan susulan termasuk pembedahan di jari kelingkingnya di Hospital Selayang yang dijadualkan lewat petang ini," katanya dan menambah beliau masih bersyukur kerana suaminya terselamat dalam kejadian itu. BERNAMA