PUTRAJAYA: Sebanyak 32,927 permohonan taraf kewarganegaraan yang tertunggak dari Januari 2009 akan diproses sebelum penghujung tahun ini.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara tersebut termasuk dalam agenda Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementeriannya bagi memastikan kes-kes tertunggak tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin. “Tidak mudah untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak dengan cepat kerana setiap permohonan perlu diteliti dan disemak terlebih dahulu.“Dengan kakitangan yang ramai diharapkan permohonan yang baru juga akan diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Surat Ucapan Tahniah dan Surat Kelulusan Taraf Kewarganegaraan kepada 92 penerima di Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.Menurut Hishammuddin, terdapat dua lagi agenda yang terdapat dalam KPI kementeriannya iaitu menyelesaikan kes pendaftaran lewat sijil kelahiran yang berjumlah 93,360 permohonan dan menyelesaikan sebanyak 16, 812 permit masuk.Anugerah Taraf Kewarganegaraan Malaysia ini diberi berdasarkan kepada lima fasal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Lima fasal berkenaan ialah: 1) Perkara 15A- Taraf kewarganegaraan Malaysia yang diberi di dalam keadaan-keadaan khas2) Perkara 15 (1) – Taraf Kewarganegaraan Malaysia yang diberi bagi isteri kepada warganegara secara daftaran;3) Perkara 15 (2) – Taraf kewarganegaraan Malaysia yang diberi bagi anak-anak yang berumur 21 tahun kepada ibu atau bapa seorang warganegara Malaysia.4) Perkara 16 – Taraf kewarganegaraan Malaysia yang diberi bagi orang-orang yang lahir di Persekutuan sebelum Hari Merdeka (sebelum tahun 1957);5) Perkara 19 (1) – Taraf Kewarganegaraan yang diberi dengan cara masukan (naturalisasi) bagi yang telah berumur melebihi 21 tahun.Jelas Hishammuddin, mereka yang tidak berjaya boleh mengemukakan rayuan kerana ia akan dipertimbangkan.“Kepada mereka yang tidak berjaya kali ini, proses untuk merayu sentiasa wujud. Kita di landasan yang betul dan saya sendiri turut meluangkan masa untuk meneliti setiap permohonan itu.“Setakat ini hanya tinggal 30 peratus permohonan lagi yang perlu diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya.Ditanya sama ada proses kelulusan permohonan taraf warganegara telah dipercepatkan bagi memudahkan seseorang itu memohon untuk menjadi warganegara Malaysia, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata: “Prosesnya masih begitu ketat kerana dalam hal-hal begini saya tidak akan ambil mudah. Mereka (pemohon) perlu melalui beberapa lapisan (saringan) sebelum permohonan itu diluluskan.”“Berjaya atau tidak itu banyak bergantung kepada kedudukan dan kriteria masing-masing. Tapi mereka berhak untuk tahu status permohonan mereka,” katanya.Sehubungan itu,Hishammuddin berkata jumlah kakitangan JPN telah ditambah bagi memastikan proses permohonan taraf kewarnegaraan Malaysia berjalan lancar.Ketika ditanya mengenai implikasi daripada pemberian taraf kewargenaraan yang diluluskan itu, Hishammuddin berkata, isu seperti perpaduan, keamanan dan gagasan 1Malaysia bukan dapat dicapai dengan mudah kerana ia memerlukan banyak pengorbanan tanpa mengira kaum dan warna kulit seseorang.“Tanpa ciri-ciri berkenaan, bukan sahaja orang luar tidak mahu menjadi rakyat di negara ini, penduduk di sini juga pasti tidak mahu jadi rakyat. Bila ianya terjadi, negara ini sudah tidak ada nilainya,” katanya.Jelasnya, Malaysia mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana ada pemohon yang sanggup menunggu sehingga 20 hingga 30 tahun sedangkan rakyat Malaysia sendiri tidak menghargainya.“Kita sendiri wajar menghargai keisitimewaan yang kita miliki itu. Saya juga ingatkan kepada mereka yang mendapat taraf warganegara hari ini supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik dengan melaksanakan apa yang termaktub dalam rukun negara dan perlembagaan negara,” katanya.