KUALA LUMPUR: 1Malaysia, konsep yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menjadi tema bagi hiasan latar Perhimpunan Agung Umno 2009 yang bermula esok.Presiden Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Datuk Yaakob Mohammad berkata hiasan latar itu akan digunakan untuk majlis utama Umno yang akan diadakan di Dewan Merdeka iaitu taklimat Presiden dan perasmian perhimpunan Agung pergerakaan Wanita, Pemuda dan Puteri esok. Dewan itu juga akan digunakan untuk perhimpunan agung Wanita Umno pada Rabu, dan perhimpunan agung Umno pada Khamis dan Jumaat, serta perhimpunan agung khas pada Khamis, katanya pada sidang berita di sini hari ini.Yaakob berkata hiasan latar itu mempunyai dua angka satu yang terletak di kiri dan kanannya, dengan simbol '1' di sebelah kiri berwarna biru dan mempunyai lambang dacing logo Barisan Nasional, manakala simbol '1' di sebelah kanan berwarna merah putih dan mempunyai logo keris mewakili Umno yang berlatar-belakang jaringan berwarna merah."Nombor "1" itu melambangkan kekuatan dan semangat perpaduan Barisan Nasional dan Umno, manakala warna merah pula melambangkan jaringan kekuatan dan keberanian Umno dan Barisan Nasional," katanya ketika menunjukkan rekabentuk hiasan latar tersebut kepada wartawan.Beliau berkata angka 1 itu mengapit gambaran dewan persidangan PWTC.Menyentuh mengenai persiapan makanan untuk perhimpunan Umno kali ini purata 16,000 pek makanan akan disediakan dalam satusatu masa iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam."Ini tidak termasuk Jamuan Hari Raya yang akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat ini melibatkan 20,000 jemputan di Dewan Tun Razak," katanya.Yaakob berkata persiapan bagi persidangan yang akan dihadiri kirakira 5,000 perwakilan Umno, 800 wakil media dan 9,000 orang pemerhati itu, sudah bermula sejak tiga bulan lalu, melibatkan 920 tenaga pekerja PWTC.Beliau turut membawa wartawan untuk melihat persiapan di dapur PWTC yang sudah mula sibuk dalam penyediaan makanan untuk perhimpunan itu.Yaakob berkata walaupun jumlah pemerhati pada perhimpunan kali ini tidak seramai perhimpunan agung Umno Mac lalu, kerana kali ini tidak ada pertandingan jawatan dalam parti, tetapi warga kerja PWTC akan terus bekerja dan membantu dari semua aspek termasuk penyediaan makanan, kebersihan, keindahan dan keselamatan."Kami juga tidak bertolak ansur dari segi keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung. Kami sudah adakan mesyuarat dengan pihak keselamatan dan 1,200 petugas keselamatan, beruniform dan tidak beruniform, akan bertugas (sepanjang perhimpunan)," katanya.Yaakob berkata pihaknya juga tidak akan mengabaikan aspek kebersihan dan keindahan dengan 150 tukang cuci telah ditugaskan untuk memastikan kebersihan tandas dan membersihkan kawasan sekitar dewan dan bilik persidangan."Kami juga telah menempatkan 7,000 pasu bunga dalam PWTC dengan pelbagai jenis dan warna bunga. Kebanyakannya kami guna bunga yang berwarna logo Umno iaitu merah dan putih," katanya lagi.Di samping itu, Yaakob berkata satu pasukan paramedik yang terdiri daripada lapan orang termasuk seorang doktor, akan bertugas sepanjang perhimpunan untuk menghadapi segala kemungkinan berkaitan kesihatan yang tidak dijangka."150 papan tanda juga disediakan di sekitar dewan, bagi memudahkan perwakilan dan para tetamu," katanya lagi.Menyentuh mengenai bilangan gerai jualan, Yaakob berkata pihaknya menerima lebih 1,000 permohonan namun hanya dapat meluluskan tapak bagi 400 gerai sahaja. BERNAMA