KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan anggota Umno agar mengubah sikap sekiranya mahu pindaan perlembagaan parti yang bakal dibuat pada perhimpunan agung parti minggu ini mencapai matlamatnya.Bekas presiden Umno itu berkata ini kerana pindaan perlembagaan semata-mata tidak menjamin penyelesaian masalah. "Saya (semasa menjawat presiden parti) buat dua pindaan. Tiap kali saya buat, saya yakin penuh bahawa pindaan itu akan menyelesaikan masalah. "Tetapi (jika) kita buat pindaan tapi kalau sikap ahliahli tak sesuai dengan pindaan itu, dia tak berjayalah," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai cadangan pindaan perlembagaan yang akan dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Umno Khamis ini.Dr Mahathir yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali sebelum itu menghadiri majlis pelancaran Buku Amanat Presiden Umno yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Antara lain pindaan yang bakal dibuat ialah pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan membenarkan lebih ramai perwakilan akar umbi terlibat dalam pemilihan parti.Ditanya sama ada perwakilan akar umbi Umno mempunyai kriteria yang perlu dalam memilih pemimpin berkebolehan, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri berkata ia terpulang kepada kaedah perwakilan itu dipilih."Apakah mereka dipilih kerana jawatan, atau kerana intelek atau kerana mereka semua sudah dewasa. Ini semua kena ambil kira," katanya. BERNAMA