suria

Banjir Mula Melanda Kelantan

KOTA BAHARU: Kuala Krai dan Pasir Mas merupakan dua kawasan yang mula dilanda banjir di Kelantan apabila lebih 300 mangsa dilaporkan mula dipindahkan sejak tengah hari ini berikutan limpahan air Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

Ketua Pegawai Bilik Operasi Gerakan Banjir Negeri, Mohd Anis Hussein berkata di Pasir Mas sejumlah 190 mangsa banjir telah berpindah manakala di Kuala Krai membabitkan 130 orang.

"Bacaan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan di Rantau Panjang sudah melepasi paras bahaya iaitu di Jenob 24.52 meter (bahaya 23.50 meter) dan di Rantau Panjang 9.94 meter (bahaya 9 meter)," katanya kepada Bernama.

Mohd Anis berkata bacaan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Kelantan juga dilaporkan mula menghampiri paras bahaya berikutan hujan lebat sejak awal pagi ini.

Bagaimanapun setakat ini tiada kemalangan jiwa dan jalan utama yang terputus akibat banjir dilaporkan.

"Mangsa banjir telah dipindah ke sekolah-sekolah, pejabat dan surau yang dijadikan pusat pemindahan sementara dan kemungkinan ada juga yang berpindah ke rumah saudara mara," katanya.

Cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sekali sekala hujan lebat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Osman berkata seramai 540 pegawai dan anggotanya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi membantu mangsa banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Katanya, pihaknya akan membekukan cuti semua kakitangannya bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir bertambah serius. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain