PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini berterima kasih kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim kerana telah memberi penjelasan bahawa fahaman Wahabi tidak sesat.Kelmarin, Mashitah memberitahu bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini. Mashitah dipetik sebagai berkata, "Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah...tak sah, habislah jemaah haji kita. Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita."Setelah penjelasan itu diberikan, Shahidan ketika menghubungi mStar Online sebentar tadi berkata, persoalan yang timbul sekarang ialah apakah Wahabi ini satu mazhab atau satu gerakan?Ini kerana mengikut sejarah, tokoh umat Syeikh Muhammad Abdul Wahab lebih mirip melaksanakan amalan Rasulullah SAW yang sebahagian besarnya diasaskan oleh Muhammad Ibni Hambal ataupun Mazhab Hambali."Bagaimanpun, Muhammad Abdul Wahab memberi penekanan kepada golongan salafi. Di antara jasa besar Muhammad Abdul Wahab berjaya menyatukan umat Islam bersolat dengan satu Imam saja. Sebelum kehadiran beliau, solat jemaah dibuat oleh empat Imam yang berlainan."Walaupun muazzinnya satu, tapi solat dibuat oleh empat kumpulan umat Islam secara bergiliran contohnya penjuru Yamani (kumpulan Imam Syafie), satu penjuru lagi sebelah Iraq (Imam Hanafi), satu lagi penjuru Mesir dan negara-negara Afrika (Imam Maliki) dan disebelah Hajarul Aswad ialah Mazhab Hambali."Hasil gerakan Muhammad Abdul Wahab maka dia berjaya menyatukan keempat-empat Mazhab ini. Dia juga membenteras amalan karut seperti memuja kubur, pokok dan sebagainya, kononnya mendapat berkat," kata Shahidan yang rajin membaca kisah sejarah Islam di masa lapangnya.Dalam banyak hal, kata bekas Menteri Besar Perlis ini, Muhammad Abdul Wahab bukannya mengenalkan mazhab yang baru tetapi mengikut apa yang diamalkan oleh mazhab lain terutama Mazhab Hambali."Muhammad Abdul Wahab telah menaikkan semangat jihad dan menentang orang-orang putih yang telah pun menguasai Bani Uthmaniyyah (memerintah Mekah/Madidinah di bawah negara Hijaz) bila penguasaan British semakin bertambah kuat," katanya.Menurut sejarah, beliau bersama keturunan King Abdul Aziz keturunan Raja Saudi sekarang berjaya membebaskan diri dari pemerintahan Uthmaniyyah yang lemah dan juga sekaligus mempertahankan negara Hijaz yang terletak Mekah dan Madinah dari penguasaan British."Oleh kerana gerakannya yang berpengaruh itu, maka British telah menulis buku gerakan tersebut bernama 'Wahabi', " jelas ahli politik ini.Shahidan kesal ulamak-ulamak di Malaysia tanpa mengetahui latar belakang sejarah menyebut perkataan Wahabi sewenang-wenangnya."Kami orang Islam di Perlis berpegang kepada Sunnah Wal Jamaah sama seperti negeri-negeri yang lain sejak dari sebelum Merdeka. Baru sekarang kami mendengar Wahabi."Boleh tanya....majoriti orang Perlis tidak tahu apa itu Wahabi. Malah ulamak-ulamak tidak tahu apa itu Wahabi. Kalau sekiranya fahaman Wahabi itu dikatakan tidak bertahlil, berzikir dan sebagainya kita tidak pernah menyebut perkara itu tidak boleh."Yang tidak diamalkan di Perlis, tahlil, berzikir di buat beramai-ramai tetapi secara sendiri termasuk doa yang dibuat dengan nyaring selepas solat, dibuat secara sendiri bukan secara nyaring dan beramai-ramai yang boleh menganggu jemaah lain yang bersolat," jelas Shahidan lagi.Bekas Menteri Besar Perlis itu amat terkilan dengan tuduhan-tuduhan liar yang mengaitkan negeri Perlis dengan fahaman Wahabi."Kami membaca qunut nazilah sebagaimana amalan Rasulullah SAW. Dalam penerangan ringkas ini, saya meminta supaya JAKIM memperjelaskan sejarah tentang Wahabi dan tidak menuduh amalan di Perlis sebagai Wahabi kerana kami tidak tahu apa itu Wahabi."Untuk memudahkan pengenalan Wahabi ini, saya setuju dengan apa yang disebut oleh Dr Mashitah bahawa kami mengikut cara sembahyang di Mekah dan Madinah."Kalau amalan di Mekah dan Madinah tak sah maka, bermasalah lah Haji-haji kita dan orang yang menunaikan umrah. Jadi, kalau di Mekah tak salah, maka Perlis pun tak salah," katanya.Sejak menjadi Menteri Besar Perlis hingga sekarang, Shahidan berkata, Perlis tidak pernah mengamalkan Wahabi atau tahu apa itu Wahabi kecuali dua, tiga orang."Yang paling rancak mengatakan ada fahaman ini adalah ulamak-ulamak lain. Yang saya sangsi samada mereka faham ataupun tidak...," kata Shahidan.