KLANG: Seorang wanita, yang nekad meminum racun rumpai bersama empat anaknya kerana terlalu sedih dengan kematian adik lelakinya, seorang suspek kes jenayah yang ditembak mati polis baru-baru ini, meninggal dunia petang ini.R. Seetha, 32, seorang suri rumah, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.15 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, selepas dimasukkan ke hospital itu minggu lepas. Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusop berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat berhubung punca sebenar kematian mangsa."Kita akan teruskan siasatan berhubung kes ini. Empat anak mangsa yang turut dimasukkan ke HTAR masih dirawat dan dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Pada 12 November lepas, Seetha bersama tiga anak perempuannya iaitu M. Darsini, M. Usarani, dan M. Navina serta seorang anak lelaki, M. Kugan, masing-masing berumur antara tiga dan lapan tahun, ditemui dalam keadaan tenat selepas meminum racun rumpai di rumah mereka di Jalan Batu 1/2, Jalan Kapar di sini.Kejadian itu disedari oleh adik perempuan Seeta, R. Parvathy, 31, yang tinggal berhampiran rumah mereka dan membawa anak-beranak itu Klinik Kesihatan Kapar di sini tetapi kesemuanya kemudian dikejarkan ke HTAR setelah berada dalam keadaan kritikal.Dalam kejadian awal pagi 7 November lepas, adik Seetha yang berumur 24 tahun, merupakan antara lima penjenayah ditembak mati polis, termasuk ketua kumpulan itu yang hanya dikenali 'PCO Boy' dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan samun di Sungai Keramat, Jalan Kapar, Klang Utama di sini. BERNAMA