SHAH ALAM: Seorang warga negara India dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan alternatif memiliki dadah jenis ketamin seberat 7,836.9 gram di KLIA tahun lepas.Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Raheem Abdul Razack, 36, yang berasal dari Chennai, India, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Aras 3, Balai Ketibaan KLIA, pada 7.45 pagi pada 13 April tahun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau keduaduanya sekali.Abdul Raheem, seorang buruh limbungan kapal, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.Dia bagaimanapun menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 12 (2) Akta yang sama.Fakta kes yang dibentangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Alfred Egin menyebut, dadah itu ditemui dalam beg sandang milik Abdul Raheem semasa proses pemeriksaan bagasi dilakukan melalui mesin pengimbas.Tertuduh diwakili peguam Sreekant Pillai. BERNAMA