KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,513 permohonan kerakyatan diluluskan dalam tempoh antara 9 April hingga 20 Oktober lalu semenjak Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerajui Kementerian Dalam Negeri.Hishammuddin berkata sejumlah 11,573 permohonan pula masih dalam pertimbangan kementerian itu dalam tempoh yang sama. "Proses permohonan taraf kewarganegaran yang mengambil masa begitu panjang disebabkan ia melibatkan pelbagai peringkat pemprosesan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.Teng ingin tahu sejak Menteri Dalam Negeri yang baru mengambil alih kementerian, berapa banyak permohonan kerakyatan Malaysia diluluskan dan bilangan permohonan yang masih dipertimbangkan.Beliau berkata kementerian sedang berusaha menyelesaikan dan mengeluarkan keputusan dengan lebih cepat dan pantas bagi permohonan yang tertunggak dan terkini selepas 20 Oktober dan tahun-tahun seterusnya.Sementara itu, Timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata kerajaan sedang mengkaji Akta Polis 1967 termasuk peruntukan Seksyen 27 akta tersebut dan undang-undang lain yang berkaitan dengan perhimpunan."Memang kerajaan dan kementerian ada cadangan untuk lihat peruntukan diadakan perhimpunan awam di satu tempat yang khusus, tetapi perkara ini memerlukan pindaan yang berkaitan," katanya menjawab soalan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar).Dr Mujahid ingin tahu bilakah kementerian akan membenarkan perhimpunan aman diadakan di tempat yang selesa dan selamat seperti di stadium atau seumpamanya bagi mengimbangi keperluan hak untuk berhimpun dan kepentingan keselamatan awam. BERNAMA