KUALA LUMPUR: Sebanyak 317 kes tangkapan bot nelayan asing di perairan Malaysia direkod sejak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) beroperasi pada tahun 2006 hingga 12 Oktober lepas.Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kes itu merangkumi 143 bot Vietnam, 105 bot Indonesia, 56 bot Thailand, lima bot Singapura, empat bot Filipina dan empat bot China. "Untuk menjaga dan memelihara keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara dengan lebih terjamin, APMM sentiasa melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan di laut secara berterusan di kawasan perairan negara," katanya menjawab soalan Senator Datuk Seri Empiang Jabu pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.Ahmad berkata, bagi perairan negeri Sarawak, statistik tangkapan kapal pukat tunda asing atau bot nelayan asing sehingga 14 Disember ini ialah sebanyak 14 tangkapan melibatkan lapan bot Vietnam, tiga bot Thailand, dua bot Indonesia dan satu bot China."Pada tahun lepas pula sebanyak tujuh kes iaitu tiga bot Vietnam, dua bot China, satu bot Thailand dan satu bot Filipina," katanya. Beliau berkata, kesalahan utama bot nelayan asing yang ditahan adalah menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan."Pada amnya, bagi tahun ini kesemua 126 tekong dan kru bot nelayan asing yang ditangkap telah didenda antara RM30,000 hingga RM650,000. Bagaimanapun, kesemua pesalah ini telah dipenjara antara tiga bulan hingga enam bulan kerana tidak dapat membayar denda itu."Kesemua 14 bot yang ditangkap pula telah disita oleh mahkamah," katanya. - BERNAMA