KUALA LUMPUR: Anak seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemui lemas oleh seorang pengawal penyelamat sebuah kolam renang di Cheras setelah mendapati kanak-kanak yang berusia 10 tahun itu tidak bergerak di dasar kolam.Mohamad Ashmier Mohad Yusof ditemui pengawal penyelamat terbabit setelah mangsa dilihat terdampar didasar kolam renang di Kompleks Renang Desa Putri di sini kira-kira jam 10.30 pagi tadi. Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, mangsa dibawa keluar dari kolam dan diberi bantuan penafasan sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)."Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke PPUKM kira-kira pukul 11.55 pagi. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah," katanya ketika dihubungi di sini.Sementara itu, bapa mangsa, Mohad Yusof Chiek, 47, berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu pergi ke kolam itu bersama sepupunya Alif Zulhilmi Supain, 10."Sebelum ini pun dia pernah ke sana bersama sepupunya. Tiba-tiba Alif balik bagi tahu saya yang Ashmier lemas," katanya ketika ditemui di bilik mayat PPUKM.Beliau yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata, kompleks itu terletak berdekatan dengan rumahnya di kuartes Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.Mohad Yusof berkata, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini dan jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuchai, Sungai Besi petang ini. - BERNAMA