suria

13 Rakyat Malaysia Didenda Gagal Tunjuk Pasport

JOHOR BAHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda terhadap 13 rakyat Malaysia kerana gagal mengemukakan pasport mereka ketika meninggalkan negara ini menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar pada 10 Disember lalu.

Kesemua mereka, yang bekerja di Singapura, mengaku salah atas tuduhan tersebut di bawah Seksyen 2(2) Akta Pasport 1966.

Lee Kian An, 42; M. Thinagaran, 26; S. Evaraj, 23; Lim Meng Hwa, 44; Nga Kor Soon, 37; Low Kam Yap, 24; Chan Wee Chong, 41; Chan Yee, 39; Kim Lian Hin, 41; Nee Siaw Rua, 25; Chin Chee Leong, 34 dan Ko Yun Yu, 35, masing-masing didenda sebanyak RM1,500.

Manakala Ong Yan Hui, 32, pula didenda sebanyak RM1,000.

Peguam bela Norman Fernandez, yang mewakili kesemua tertuduh, meminta Hakim Salawati Djambari meringankan hukuman denda kerana kesemua tertuduh bekerja di Singapura dan hanya berpendapatan kecil.

"Mereka berkemungkinan akan hilang pekerjaan setelah lama tidak pergi kerja disebabkan kes ini. Ini merupakan kesalahan pertama mereka dan tidak akan mengulanginya," kata Fernandez.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Imigresen Aminuddin Zakaria, memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada orang lain.

Kesemua tertuduh membayar denda masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan