suria

Tujuh Lagi Individu Ditahan, Empat Bayi Dan Seorang Kanak-Kanak Diselamatkan

SUBANG JAYA: Susulan daripada penahanan 13 orang termasuk dalang sindiket penjualan bayi dalam 'Ops Kasih' baru-baru ini, polis berjaya menahan tujuh lagi individu dan menyelamatkan empat bayi serta seorang kanak-kanak berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata ketujuh-tujuh mereka yang terdiri daripada lima warga Indonesia dan dua wanita tempatan itu diberkas dalam tiga tangkapan berasingan.

"Mereka yang ditahan itu terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita Indonesia serta dua wanita tempatan yang ditahan dari tarikh 15 hingga 20 Dis," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pondok Polis Puchong Perdana di sini.

Beliau berkata dua wanita tempatan itu merupakan antara dalang sindiket manakala empat wanita Indonesia diupah untuk mengandungkan bayi-bayi itu sebelum bayi-bayi berkenaan dijual.

"Kesemua suspek yang berumur antara 22 dan 36 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang selain di Kajang, Klang dan Banting," katanya.

"Keempat-empat bayi dan kanak-kanak yang berumur antara tiga bulan dan tiga tahun itu pula diselamatkan selepas pembeli tampil menyerahkan bayi dan kanak-kanak terbabit kepada polis.

Khalid berkata bayi dan kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini.

"Siasatan polis juga mendapati kesemua bayi dan kanak-kanak itu mempunyai dokumen kelahiran masing-masing yang menggunakan nama pasangan yang membeli bayi dan kanak-kanak terbabit sebagai ibu bapa sebenar," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lagi berhubung kes itu.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai penafian Hospital Maternity di Jalan Pasar, Klang yang dikaitkan dengan sindiket penjualan bayi itu.

Baru-baru ini, polis menumpaskan sindiket penjualan bayi yang beroperasi di Selangor sejak lima tahun lepas apabila menahan 13 orang dan menyelamatkan lima bayi serta seorang kanak-kanak perempuan dalam dua serbuan di Selangor.

Lima bayi termasuk seorang bayi Orang Asli yang diselamatkan dalam serbuan di Banting pada 4 Dis dan di Klang pada 11 Dis itu berusia antara dua minggu dan sembilan bulan manakala kanak-kanak terbabit berusia tiga tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain