KUALA LUMPUR: Beberapa jalan raya di sekitar bandaraya akan ditutup pada 31 Disember ini bersempena sambutan ambang tahun baru 2010 yang akan diadakan di beberapa lokasi termasuk di Dataran Merdeka dan Bukit Bintang.Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini berkata, jalan-jalan yang akan ditutup ialah bermula dari lampu isyarat Jalan Hishamudin/Jalan Raja, hingga lampu isyarat Jalan Raja/Jalan Tuanku Abdul Rahman mulai pukul 7 malam (31 Disember) sehingga acara sambutan selesai untuk sambutan di Dataran Merdeka. "Bagi sambutan di Bukit Bintang jalan yang ditutup bermula dari lampu isyarat Jalan Imbi/Jalan Sultan Ismail menghala ke lampu isyarat Jalan Sultan Ismail/Jalan Bukit Bintang mulai pukul 0001 pagi (31 Disember) hingga pukul 6 pagi 1 Januari 2010," katanya.Rusli berkata, laluan-laluan di sekitar Kuala Lumpur juga dijangka akan ditutup secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan lalulintas semasa. - BERNAMA